RAMAI sahabat saya yang baik, masuk politik, atau lebih tepat lagi, masuk parti politik. Sering juga kami berbeza pendapat dalam banyak hal.
Saya pula, sebagai orang yang berada di luar, sering saja menghamburkan kritikan. Dan ya, menghamburkan kritikan itu perkara paling mudah, sedang yang bekerja di bawah (grass roots) yang benar-benar faham kepayahan sebenar.
Dalam pada kritikan saya lemparkan, dalam diam-diam, saya meletakkan harapan besar pada mereka. Mereka orang baik yang berprinsip. Saya doakan agar mereka kekal sebagai orang baik dan berprinsip. Tidak perlu saya nyatakan nama, mereka kenal siapa mereka.
Ramai pula yang masuk parti politik, kononnya untuk membawa perubahan dalam negara. Bertahun sudah, tidak ada perubahan yang berlaku, sedang merekalah yang berubah. Saya tidak salahkan mereka, mungkin hari-hari mereka termimpi-mimpi, mahu jadi YB!
Melayu dan semangat kemerdekaan
Ketika membicarakan berkenaan organisasi Melayu sekitar 1930-an, dalam bukunya “Ke Mana Nasionalisme Melayu?”, Rustam A. Sani menyatakan, “Gerakan-gerakan itu tidak anti-kolonial sifatnya, kerana menentang pemerintahan kolonial (pada masa itu) tidaklah dipersepsi sebagai berlainan daripada menentang pemerintahan Raja-raja Melayu sendiri”.
Begitulah tingginya kedudukan kolonial British pada ketika itu, sehingga tahap mengkritik kolonial British dianggap sebagai mengkritik Raja-raja Melayu. Maka tidak salah untuk saya katakan, orang Melayu ketika itu, rata-ratanya tidak mahu, malah tidak pernah terfikir pun untuk Merdeka.
Namun hal ini terjadi secara organik, dan meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas orang Melayu itu sendiri satu kesilapan besar. Tanah Melayu terjajah selama ratusan tahun, sehingga ia seakan-akan sebati dengan budaya masyarakat.
Ada satu perkataan yang dapat menggambarkan keadaan ketika itu, yakni “selesa”. Keselesaan itulah yang membuatkan rata-rata orang Melayu takut, dan tidak mahu untuk membuat perubahan.
Orang Melayu tidak yakin penduduk Tanah Melayu dapat mentadbir sendiri, tanpa bantuan segala kelengkapan yang disediakan British.
Hal ini (organisasi yang tidak bersifat anti-kolonial) berterusan, sehinggalah tertubuhnya Kesatuan Melayu Muda, pada 1938, yang diasaskan seorang guru muda berusia 28 tahun, Ibrahim Yaakob, bersama-sama pelajar dari Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI), berserta segelintir inteligensia Melayu yang berkongsi cita-cita, iaitu merdeka.
KMM merupakan pertubuhan politik kebangsaan pertama di Tanah Melayu, yang berperanan besar memperbaharui semangat kemerdekaan rakyat melawan penjajah, terutamanya di kalangan orang Melayu.
Walaupun pergerakan menuntut kemerdekaan mula tumbuh, namun pemikiran “orang Melayu akan mundur tanpa British” ini tetap menebal dalam kalangan masyarakat.
Yahya Nasim, bekas timbalan bendahari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dalam temubual yang disiarkan dalam dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka, katanya, “Bila kita cakap merdeka ni, masyarakat kita itu setengahnya takut, setengahnya benci, dia kata apa bendanya merdeka itu pada dia?”.
Majid Salleh, bekas presiden Kesatuan Buruh Johor, dalam dokumentari yang sama, katanya, “Awak ni dah gila? Nak merdeka awak ni tak tahu awak ni siapa? Orang Melayu ni siapa? Tak tahu orang putih kapal terbang ada, kapal laut ada, kapal selam ada, itu nak kita lawan? Itulah suara (penentangan) yang kita dengar”.
Agama
Pemerintahan kolonial juga disokong Raja-raja Melayu, yang menggunakan ulama kolot kaum tua untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Agama digunakan supaya mereka terus kekal berkuasa, dan rakyat pula terus tunduk tanpa sebarang penentangan.
Dalam bukunya bertajuk “Ayahku”, Prof Hamka menulis,“…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana (Tanah Melayu) sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!”.
Golongan ulama kaum tua ketika itu sangat berkuasa. Rakyat pula, kebanyakan tidak berani mempersoalkan segala tindak tanduk mereka.
Tulis Hamka lagi, memetik kata-kata ayahnya, “Menjadi mufti dalam kerajaan Melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.
Makanya menggunakan agama ini untuk terus berkuasa bukanlah perkara baharu. Jika diteliti dan dikaji, skripnya hampir sama, seperti kitaran roda yang tidak bergerak.
Kedatangan Jepun
Tentera Maharaja Jepun berjaya menjajah Tanah Melayu sepenuhnya pada 31 Januari, 1942. Mereka bergerak dengan sangat pantas, selepas serangan pertama dilancarkan pada 8 Disember, 1941.
Ini pertama kali, dalam tempoh yang begitu panjang, pentadbiran kerajaan bertukar.
Perlu untuk dijelaskan, serta ditekankan kedatangan Jepun itu tidak membawa kebaikan kepada rakyat Tanah Melayu. Makanan dicatu, gadis dirogol, malah jumlah rakyat yang dibunuh tidak terkira banyaknya. Ini perkara penting yang mesti diingatkan.
Namun ada satu perkara berlaku, yang saya kira lebih besar nilainya daripada perubahan bersifat lahiriah, atau perubahan yang dapat dilihat dengan mata kasar, yakni “perubahan mentaliti”. Masyarakat mula sedar mereka mampu untuk terus hidup, walaupun selepas ketiadaan British.
Yahya dalam temubual yang sama berkata: “Perang Jepun itu banyak mengubah fikiran kita, rupanya kalau tak ada orang putih ni pun boleh, dulu dia (rakyat) terfikir kalau tidak ada orang putih ni mati kita. Bila Jepun memerintah 3 tahun 8 bulan, kita fikir tidak ada orang putih pun boleh juga.”
Katanya lagi, “ia (perang Jepun) menginsafkan Rakyat. Itu yang orang putih sangat takut. Menginsafkan rakyat ini, bahawasanya, kita punya tanah air, kita punya. Dia datang menjajah, kita mesti suruh dia balik”.
Hari ini
Sejak pilihan raya yang pertama, pada 1955, sehinggalah 2017, Malaya (kini Malaysia) diperintah kerajaan yang sama, kerajaan Barisan Nasional (dulu Parti Perikatan).
Mentaliti masyarakat hari ini, dengan masyarakat pada 1930-an dan sebelumnya, tidak jauh bezanya. Mereka sudah terlalu lama diperintah kerajaan yang sama, makanya mereka sudah “selesa”. Mereka takut dan tak mahu perubahan.
Ratibnya sama, kalau dulu, “kalau tak ada British mati kita”, samalah sekarang, “kalau tak ada BN mati kita”. Maka inilah penyakit sebenar yang melanda masyarakat.
Hal ini dipergunakan dengan baik oleh pemerintah. Apa pun yang mereka lakukan, mereka tahu masyarakat takut akan perubahan, maka undi tetap pada mereka.
Namun suka untuk saya ungkapkan kata-kata Ibn Khaldun, dalam karya agungnya Mukaddimah, “Pada permulaan sebuah empayar, kadar cukainya rendah dan pendapatannya tinggi. Pada penghujung sebuah empayar, kadar cukainya tinggi dan pendapatannya rendah”.
Semua tahu, kita sudah berada di tahap mana.
Siapa patut jadi peneraju perubahan
Perbahasan hari ini dibahaskan dengan begitu lama, dan begitu panjang. Mengapa kita perlu berubah? Siapa akan menjadi penggantinya?
Ketika berbual dengan beberapa sahabat, dalam membincangkan sebab perubahan itu, katanya, “kita perlu berubah, kerana korupsi!”.
Kata sahabat yang lain, “terlalu banyak akta menindas, tukar kerajaan akan dapat menghapuskan akta-akta ini!”.
Saya hanya mampu tersenyum. Maaf, namun pada saya ia hanyalah mimpi nan indah. Saya juga hampir hanyut dalam mimpi yang sama.
Menghapuskan korupsi, atau menghapuskan akta menindas, tidak akan tercapai dengan hanya menukar kerajaan. Sekurang-kurangnya untuk tempoh yang singkat ini.
Ramai juga yang berbicara soal prinsip, kononnya kerajaan baru “wajib suci”, sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan. Saya katakan, selagi mana namanya yang memerintah itu seorang manusia, mustahil dia sempurna.
Pertama, sudah tentu, pemuda harus menjadi penerajunya. Soal siapa patut jadi perdana menteri, adalah persoalan kedua. Pemuda jangan ikut permainan memualkan pemain politik tua yang tak habis-habis berbalah soal jawatan.
Saya cuma punya satu sebab, dan hanya satu, dalam persoalan mengapa perlunya perubahan kerajaan. Perubahan kerajaan mungkin akan membawa kebaikan, malah mungkin keburukan. Namun perkara yang paling besar dapat dicapai adalah perubahan “mentaliti”.
Dengan perubahan, kita dapat membuktikan, terutama kepada orang Melayu, walau tanpa BN, tidak ada rakyat yang akan mati kebuluran.
Melayu masih lagi Melayu. Maka, rakyat tidak akan takut lagi, untuk menghumban kerajaan yang tidak mengurus tadbir dengan baik pada masa akan datang.
Malah saya mengharapkan, sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan kerajaan, kerajaan baharu ini akan dijatuhkan selepas dua hingga tiga penggal mentadbir, agar “semangat membangun” itu sentiasa diperbaharui. – 19 Julai, 2017.
* Amir Abd Hadi ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen