Ronaldo kembalikan kegilaan bola sepak di China


Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menerima sambutan hangat daripada peminatnya ketika lawatan ke Beijing. – Gambar AFP, 20 Julai, 2018.

SELEPAS berakhirnya Piala Dunia FIFA 2018, kunjungan bintang handalan Portugal, Cristiano Ronaldo ke Beijing, menghangatkan kembali suasana kemeriahan bola sepak apabila peminat berpeluang melihat dengan lebih dekat penyerang sensasi itu.

Bermula dari lapangan terbang kemudian ke kedai Nike, hotel ke Muzium Istana, di mana sahaja kelibat Ronaldo pergi, peminat bersorak kegembiraan apabila melihat idola mereka.

Agensi berita Xinhua melaporkan, selain menandatangani jersi dan berswafoto, bintang kegemaran ramai itu memberikan layanan yang baik kepada peminat dari negara yang meminati bola sepak itu.

Dalam satu temu bual, Ronaldo mencadangkan kepada bola sepak China agar “memberi peluang yang baik kepada anak-anak, padang yang elok, wujudkan banyak peluang kerana mereka adalah masa depan”

Pemenang lima kali Liga Juara-Juara Eropah itu, menyumbang kepada perkembangan bola sepak China dengan menaja kemudahan padang di sekolah rendah Longxi County, di Wilayah Gansu semasa lawatan sulungya ke China tahun lalu.

Padang itu siap pada Mei dan lebih ramai kanak-kanak dapat merasai kegembiraan sebenar permainan bola sepak.

“Teruskan, bekerja keras, percaya kepada diri sendiri dan jangan pernah berputus asa,” itu antara nasihat Ranaldo selain beliau mahu melihat pemain China menjadi sepertinya atau lebih hebat.

Dalam temu bual itu, Ronaldo turut berbicara mengenai masa depannya di Juventus, pasukan bola sepak Itali Serie A yang baharu disertainya.

“Saya sangat gembira, ia adalah antara kelab paling penting di Itali. Ia juga peluang terbaik untuk saya.

“Saya berharap dapat bermain dengan baik serta menyumbang kemenangan kepada kelab dan rakan lain. Saya akan cuba membuatkan peminat Itali gembira,” katanya.

Selepas memenangi dua gelaran La Liga dan empat piala Liga Juara-Juara UEFA dalam tempoh sembilan tahun di Real Madrid, Ronaldo mengambil keputusan berpindah ke Juventus dengan mengikat kotrak selama empat tahun, bernilai 100 juta euro. – Bernama, 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen