PRESIDEN Mahkamah Agung Peru, Duberli Rodriguez, dan Presiden Majlis Majistret Negara (CNM), Orlando Velasquez, meletak jawatan pada Khamis di tengah-tengah kehangatan skandal kehakiman negara itu ketika ini.
“Melihatkan krisis institusi yang dialami oleh Mahkamah Agung ketika ini, saya ingin mengemukakan peletakan jawatan saya yang tidak boleh ditarik balik,” kata Rodriguez dalam sepucuk surat kepada hakim kanan, Francisco Artemio Tavara.
Velasquez kemudian mengikuti jejak langkah Rodriguez dengan mengemukakan satu kenyataan berhubung peletakan jawatan beliau, dan menambah bahawa dua lagi anggota majlis itu, Maritza Aragon serta Hebert Marcelo, turut mengundurkan diri.
Tindakan peletakan jawatan itu dibuat susulan skandal kehakiman yang berterusan bermula pada 7 Julai selepas beberapa media menyiarkan rakaman perbualan telefon beberapa anggota CNM, hakim Mahkamah Agung dan individu lain, yang terlibat dalam perlakuan rasuah.
Minggu lepas, Presiden Peru Martin Vizcarra menyatakan komitmen “tegas dan mutlak” beliau untuk memerangi semua perlakuan rasuah yang dihadapi negara itu serta menyelesaikan masalah dalam sistem kehakiman.
Vizcarra turut memberi jaminan kerajaannya sedang merangka satu pelan tindakan untuk dimasukkan ke dalam sebuah projek pembaharuan kehakiman, yang akan dibentang kepada Kongres pada 28 Julai. – Bernama, 20 Julai, 2018.
Komen