Tagore, bahasa dan perjuangan kemerdekaan


Radzi Razak

SEBUAH dinding di pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur memaparkan mural lirik lagu kebangsaan negara itu dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

Lirik Amar Shonar Bangla (Bengalku yang Keemasan) ditulis bertahun sebelum Bangladesh merdeka.

Ia ditulis oleh Rabindranath Tagore, penulis agung Bengal, untuk merakamkan kesatuan penduduk wilayah itu yang dipisahkan kepada Bengal Timur dan Assam ekoran dasar pecah perintah British di India pada 1905 yang mengasingkan penganut Hindu dan Islam.

Apabila perjuangan kemerdekaan Bangladesh memuncak pada tahun 1971, puisi Tagore itu diangkat secara rasmi sebagai lagu kebangsaan negara itu yang merdeka daripada Pakistan.

Tagore, pemenang pertama Hadiah Nobel Sastera dari Asia pada 1913, merupakan sosok penentang yang kuat melawan arus.

Walaupun lahir dalam keluarga yang amat kaya, beliau menulis puisi, cerpen dan lagunya dari sudut marhaen melawan kepercayaan dan amalan tabu di di negara India, Pakistan dan Bangladesh, yang masih membelenggu wilayah Asia Selatan sehingga sekarang.

Sebagai contoh, kebanyakan protagonis cerpennya adalah wanita dari kalangan rakyat biasa yang melawan norma masyarakat sekeliling.

Antara cerpen beliau yang paling terkenal, Kabuliwala (Penjual Buah dari Kabul).

Cerpen itu menceritakan hubungan kemanusiaan dan kasih sayang antara Abdur Rahamat Khan, penjual buah yang meninggalkan keluarganya di Afghanistan, dengan Mini, anak kecil yang tinggal di Kolkata bersama ibunya.

Rahamat sangat kasihkan Mini kerana rindunya yang terlalu pada anaknya sendiri yang ditinggalkan di Kabul.

Tagore antara penulis awal Asia yang menggabungkan elemen sastera timur dan barat dalam impiannya memecahkan kejumudan masyarakat terutamanya di wilayah Bengal pada waktu itu.

Beliau amat bencikan pendidikan formal dan menubuhkan sekolahnya sendiri, Shantiniketan.

Sekolah yang dibuka di rumahnya sendiri itu menawarkan pendidikan luar bilik darjah dan tidak formal, selepas beliau sendiri tidak menghabiskan pendidikan sarjananya di United Kingdom.

Walaupun tanpa pendidikan formal, Tagore yang menulis beratus karya termasuk lagu, opera dan esei sepanjang hidupnya, diangkat sebagai pemikir agung India setaraf Mahathma Gandhi dan diberi gelaran “Gurudev” atau tuan guru.

Seorang yang amat progresif, beliau turut mempunyai pendapat amat berlainan dengan sahabatnya, Gandhi terutamanya dalam tabu paling keras masyarakat Hindu, sistem kasta.

Ketika kejadian gempa bumi di Bihar pada 1934 yang mengorbankan ribuan nyawa, Gandhi, yang juga memperjuangkan keadilan untuk kasta pariah, (the untouchables) berkata beliau percaya bencana alam itu berlaku kerana balasan Tuhan ke atas dosa kaum itu.

Bagaimanapun Tagore dengan keras menolak kenyataan rakannya itu. Katanya, adalah amat malang sekali pendapat yang tidak saintifik untuk menghuraikan sebuah fenomena alam semulajadi diterima oleh majoriti masyarakat.

Tagore juga amat bencikan semangat patriotisme melampau masyarakat India yang menolak semua elemen Barat dan hanya mementingkan budaya mereka semata ketika menuntut kemerdekaan daripada British. Penyair itu berpendapat adalah perlu dan penting sekali untuk  masyarakat India “belajar dan mengambil perkara positif” daripada barat.

Pemikiran

Jadi, apa kaitan seorang anti nasionalis, pemberontak, pemikir progresif marhaen dengan kemerdekaan Bangladesh kira-kira 30 tahun selepas kematian beliau?

Bangladesh, yang dipisahkan daripada India pada 1947 menjadi wilayah Pakistan dan dikenali sebagai Bengal Timur atau Pakistan Timur, dikawal ketat oleh pusat kekuasaan di Lahore yang turut mengharamkan semua kesusasteraan bahasa Bengali termasuk karya-karya Tagore.

Seawal 1952, Gerakan Bahasa Bengali ditubuhkan bagi memperjuangkan hak mereka apabila Muhammad Ali Jinnah mahukan Urdu jadi bahasa rasmi Pakistan walaupun 44 juta daripada 69 juta warga negara itu tinggal di Pakistan Timur dan berbangsa Bengali.

Gerakan memperjuangkan bahasa kebangsaan ini kemudiannya menjadi pencetus kepada gerakan dan perjuangan pemisahan Dhaka daripada Lahore sehingga aktivisnya diburu habis-habisan oleh kerajaan tentera Pakistan.

Malah, beberapa bulan sebelum kemerdekaan pada Disember 1971, sejuta rakyat Bengal Timur terkorban dan kira-kira 10 juta yang lain jadi pelarian perang akibat aktiviti ketenteraan Pakistan.

Kempen kemerdekaan itu turut dapat perhatian anggota kumpulan muzik The Beatles, George Harisson dan peminat Tagore yang menganjurkan sebuah konsert besar di New York untuk menarik perhatian dunia.

Syeikh Mujibur Rahman, Ketua Liga Awami, parti politik terbesar yang memperjuangkan kemerdekaan Bangladesh, ditangkap sejurus selepas melaungkan kemerdekaan pada Mac 1971. Beliau dibebaskan setahun kemudian dan disambut dua juta rakyatnya di Dhaka untuk diangkat sebagai Presiden Bangladesh.

Mujibur yang berfahaman kiri juga antara pelopor awal dan penggerak Gerakan Bahasa Bengal yang sudah berkali-kali dipenjara kerana perjuangan bahasa seawal tahun 1952.

Beliau kemudiannya dibunuh dalam rampasan kuasa pada 1975. Anaknya, Sheikh Hasima yang terselamat ketika itu, kini menjadi perdana menteri wanita pertama Bangladesh.

Beliau juga berkali-kali mengingatkan kepentingan Bahasa Bengali dalam sejarah kemerdekaan negara itu.

Bangladesh sehingga kini masih bergolak. Mengikut laporan Unicef, 26 juta rakyatnya hidup dalam kemiskinan, manakala jutaan diaspora mencari pekerjaan di negara lain.

Negara itu juga mencatatkan kadar kematian bayi yang tinggi, peratusan tertinggi di dunia dalam perkahwinan kanak-kanak  – 66% wanita berkahwin sebelum umur 18 – sementara 13% daripada kanak-kanaknya terpaksa bekerja.

Sekiranya Tagore - yang menulis hampir semua ribuan karyanya dalam bahasa ibundanya itu masih hidup, apakah beliau gembira melihat jutaan nyawa yang masih tergugat kerana digunakan untuk politik semata?

Atau masihkah beliau berimpian seperti semasa hidupnya, melihat bahasa menjadi penyatuan masyarakat dunia, tanpa mengira negara, bangsa dan agama dan kepercayaan terkehadapan mengenai sains yang menembusi norma dan kejumudan masyarakatnya? –20 Julai, 2018.

* Wartawan bebas yang sentiasa cuba bebas. Aktivis Media Merdeka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen