Tangguh bayar balik PTPTN perlu kajian impak segera


SAYA tertarik untuk mengulas isu yang diperdebatkan di Dewan Rakyat beberapa hari lepas antara Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek berkenaan penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam berpendapatan bawah RM4,000 sebulan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara peribadi, saya melihat bahawa cadangan kerajaan untuk melaksanakan penangguhan bayaran PTPTN kepada peminjam berpendapatan bawah RM4,000 sebagai suatu perkara yang positif tatkala kebanyakan rakyat hari ini masih berdepan dengan peningkatan kos sara hidup terutama yang melibatkan belia di kawasan bandar serta kepayahan mendapatkan pekerjaan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.

Akan tetapi, saya juga mengambil kira pandangan Khairy sebagai satu yang harus diambil berat oleh pihak kerajaan, di mana perkara ini tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan populis semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan perlu melaksanakan kajian impak secara komprehensif bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan secara efektif tanpa memberi bebanan kewangan yang tinggi kepada pihak kerajaan tatkala negara berhadapan dengan krisis hutang seperti yang diperkatakan oleh pemimpin tertinggi negara sebelum ini.

Saya juga khuatir sekiranya langkah penangguhan ini laksanakan dengan tergesa-gesa, ianya akan memberi kesan kepada peminjam baru di mana kemungkinan PTPTN terpaksa mengurangkan pinjaman baru serta memperketatkan syarat pemberian pinjaman bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan. 

Sekiranya ini berlaku, sudah pasti ramai lepasan sekolah yang tidak dapat menyambung pengajian mereka ke peringkat tertinggi akibat kekangan kewangan.

Justeru, saya mencadangkan agar satu kajian impak secara menyeluruh perlu dibuat dengan kadar segera oleh pihak PTPTN dan hasil kajian tersebut mestilah didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat meneliti dan menilai sama ada ianya boleh dilaksanakan atau sebaliknya. 

Dengan pendekatan kerajaan terkini yang dilihat lebih terbuka dan telus, maka saya juga berharap agar rakyat diberi lebih ruang untuk berpartisipasi dalam merangka dasar baru ini agar proses pungutan bayaran balik PTPTN akan menjadi lebih efektif, pelbagai dan praktikal tanpa membebankan pihak rakyat atau kerajaan.

Saya juga mengesa agar pihak PTPTN dapat melanjutkan tempoh mengemaskini maklumat pendapatan peminjam yang dijangka tamat pada 25 Julai ini ke satu tarikh yang lebih munasabah. Ini penting bagi mengelakkan dari berlakunya keciciran maklumat dan kesesakan sistem atas talian PTPTN dalam memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati dasar penangguhan bayaran berkenaan. – 20 Julai, 2018.

* Hasnul Fairuz Hushin Amri adalah pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen