Jerman tangguh urus niaga kapal selam Israel kerana rasuah


JERMAN menangguhkan menandatangani urus niaga dengan Israel dalam penjualan tiga kapal selam, kata seorang pegawai Israel ketika siasatan rasuah sedang dilakukan ke atas urus niaga itu.

Jerman dan Israel dijangka menandatangani perjanjian persefahaman penjualan itu di Berlin minggu depan, lapor media Israel.

Sumber di Majlis Keselamatan Nasional Israel yang tidak mahu namanya disiarkan berkata yang “Jerman menangguhkan menandatangani MoU itu buat ketika ini,” tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Penangguhan itu dilakukan susulan penahanan beberapa orang sejak beberapa hari lalu kerana disyaki terlibat dalam jenayah rasuah dan penggubahan wang haram dalam urus niaga untuk membeli kapal selam Dolphin daripada gergasi industri Jerman, ThyssenKrupp.

Antara yang ditahan ialah bekas Komander Tentera Laut Eliezer Maron, bekas Timbalan Ketua Majlis Keselamatan Nasional Israel Avriel Bar Yosef dan wakil ThyssenKrupp di Israel, Miki Ganor.

David Shimron, saudara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan peguam keluarganya yang mewakili ThysseKrupp di Israel juga ditahan untuk disoal siasat tetapi sudah dibebaskan.

Akhbar harian Yehior Aharonot yang mula-mula melaporkan MoU itu ditangguhkan berkata Jerman menambah klausa dalam perjanjian membolehkan negara itu menarik diri daripada urus niaga itu sekiranya terbukti wujudnya rasuah.

Febuari lepas, kementerian kehakiman Israel berkata yang ia melancarkan siasatan kes itu sambil menekankan yang Netanyahu bukan suspek kes berkenaan.

Netanyahu kini disiasat dalam kes berlainan, dilaporkan kerana dakwaan dia dan isterinya menerima habuan daripada ahli perniagaan dan penerbit Hollywood, Arnon Milchan.

Perdana menteri Israel itu juga sedang disiasat kerana disyaki mengadakan perjanjian sulit dengan Amnon Moses, penerbit akhbar paling laris Israel, Yediot Aharonot.

Netanyahu menafikan dakwaan wujudnya salah laku, mendakwa dia menjadi sasaran musuh politiknya. – AFP, 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen