Pakistan kenal pasti pengebom kempen pilihan raya di Mastung


Serangan minggu lalu di Mastung membunuh sekurang-kurangnya 149 orang dan merupakan yang terbaru dalam satu siri letupan maut pada pelbagai kempen pilihan raya menjelang pemilihan pada 25 Julai ini. – Gambar AFP, 20 Julai, 2018.

INDIVIDU bertanggungjawab terhadap salah satu pengeboman terburuk di Pakistan sudah dikenal pasti sebagai seorang pemberontak yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua tahun di Afghanistan, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Serangan minggu lalu membunuh sekurang-kurangnya 149 orang dan merupakan yang terbaru dalam satu siri letupan maut pada pelbagai kempen pilihan raya menjelang pemilihan pada 25 Julai.

Ujian DNA dilakukan pada tangan penyerang, yang ditemui di tempat kejadian, mengenal pasti pengebom sebagai warga Pakistan Hafeez Nawaz, pihak berkuasa memberitahu pemberita di ibu kota wilayah Quetta.

Keluarga Nawaz “mengesahkan anaknya berada di Afghanistan selama dua tahun yang lalu untuk melancarkan jihad terhadap gabungan antarabangsa” menyokong kerajaan Afghanistan, kata pegawai penguatkuasaan kanan Aitzaz Goraya.

Pengebom itu dikatakan bekerjasama dengan pihak lain untuk melaksanakan serangan di daerah barat daya Mastung dan polis sedang memburu rakannya, kata Goraya.

Kejadian bom minggu lepas menyasarkan perhimpunan oleh ahli politik tempatan Siraj Raisani, yang diakui kumpulan militan Islamic State. Raisani adalah antara yang terbunuh.

Serangan pada kempen pilihan raya membunuh sekurang-kurangnya 156 orang, termasuk seorang ahli politik tempatan lain, menjelang pemilihan minggu depan.

Keganasan menurun dengan ketara sejak serangan militan paling dahsyat, berlaku di sebuah sekolah di bandar barat laut Peshawar pada 2014 yang membunuh lebih 150 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Tentera Pakistan mempergiatkan operasi terhadap militan di kawasan sepanjang sempadan dengan Afghanistan berikutan serangan itu, yang membawa kepada penambahbaikan keselamatan dramatik.

Bagaimanapun, penganalisis sejak lama memberi amaran yang Pakistan tidak menangani punca utama ekstremisme, dan militan masih berupaya melakukan serangan hebat seperti serangan di  Mastung. – AFP, 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen