Burberry bakar produk bernilai jutaan dolar untuk lindungi jenama


Burberry memusnahkan stok pakaian, aksesori dan minyak wangi tidak terjual yang bernilai AS$37 juta. – Gambar AFP, 20 Julai, 2018.

PENGELUAR fesyen mewah Burberry memusnahkan produknya yang bernilai puluhan juta dolar sepanjang tahun lalu untuk melindungi jenamanya.

Syarikat itu membakar pakaian, aksesori dan minyak wangi yang tidak terjual bernilai £28.6 juta (AS$37 juta), menurut laporan tahunannya, yang merupakan amalan biasa dalam industri itu sebagai pelindungan bagi aktiviti cetak rompak.

Peruncit menyifatkannya sebagai langkah untuk melindungi harta intelek dan mencegah produk dicuri atau dijual pada harga diskaun.

“Burberry menjalankan proses teliti untuk meminimumkan jumlah stok berlebihan yang dihasilkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Apabila pelupusan produk diperlukan, kami melakukannya dengan cara yang bertanggungjawab dan terus mencari jalan untuk mengurangkan dan menilai semula lebihan kami.”

Antara produk yang dimusnahkan ialah barangan kecantikan bernilai £10.4 juta, yang dikatakan oleh Burberry dikaitkan dengan lesen sekali beri yang dipersetujui dengan syarikat kecantikan Coty tahun lepas.

Firma itu - yang mengumumkan sedikit kenaikan dalam keuntungan tahunan pada Mei kepada £294 juta - mengatakan ia mengambil tanggungjawab alam sekitar dengan serius dan memanfaatkan tenaga daripada pembakaran semua barangan tersebut.

Ia juga menegaskan perkongsian dengan organisasi seperti Yayasan Ellen MacArthur yang berfungsi untuk mengurangkan sisa dalam industri.

Tetapi berita mengenai dasar pemusnahannya menarik minat Britain.

Ahli Parlimen Tim Farron, jurucakap alam sekitar bagi parti Liberal Democrat berkata: “Sangat mengejutkan yang Burberry berpendapat membakar stok tidak terjual mereka adalah penyelesaian yang boleh diterima” dan menambah kitar semula adalah lebih baik untuk alam sekitar. – AFP, 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen