Perihal manifesto


KEBELAKANGAN ini muncul beberapa komentar tentang sama ada kerajaan baru akan dapat melaksanakan manifestonya.

Ia bahkan dibincang di dalam dan di luar Dewan Rakyat. Ini, bagi saya, adalah satu perkembangan yang baik.

Pada peringkat awal, saya pernah terlibat sebagai anggota jawatankuasa manifesto pemuda Pakatan Harapan (ph). Justeru, sedikit-sebanyak dapat saya fahami proses-proses yang berlaku dalam penyediaannya.

Sudah tentu, mereka yang terlibat menyediakan manifesto ini selalu beranggapan ia adalah bahan utama yang akan mempengaruhi pengundi memilih parti mereka. Ini tentulah tidak menjadi kesalahan.

Namun, marilah kita berlaku jujur, berapa ramaikah yang benar-benar membaca dan bersetuju dengan seluruh manifesto yang dirangka sebelum membuat pilihan untuk mengundi seseorang calon atau sesebuah parti?

Bukankah majoriti percaya bahawa ramai sebenarnya mengundi bukan kerana lebih yakin dengan PH, tetapi sebaliknya kerana hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN)?

Saya pernah berkhidmat sebagai pegawai komunikasi kepada Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim (2010-2012).

Saya masih ingat pada suatu ketika Umno-BN Selangor menuntut kerajaan negeri menunaikan janji-janji manifesto Pakatan Rakyat.

Sebenarnya, semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 diadakan, Pakatan Rakyat belum lagi wujud. Apa yang ada hanyalah persefahaman Keadilan, PAS dan DAP untuk memastikan satu lawan satu melawan Umno-BN.

Tetapi, semasa tempoh kempen, rumah saya juga turut dihantar risalah manifesto yang termuat pelbagai dasar-dasar populis.

Kemudian saya tahu ia sebenarnya dirangka oleh PAS tanpa dibincangkan terlebih dahulu dengan parti lain. Saya masih ingat risalah tersebut termuat gambar Hassan Ali dan Khalid.

Apabila Umno-BN menuntut kerajaan negeri Selangor melaksanakan manifesto itu, ternyata menteri besar Selangor pada mulanya enggan.

Beliau menegaskan, dengan sedikit mengejutkan - “manifesto bukan janji”. Memang, itulah pendirian sebenar beliau. Dengan sedikit pengetahuan ekonomi, saya dapat memahaminya.  

Ia tidak berakhir di situ sahaja. Kerajaan Selangor kemudian diheret ke mahkamah bagi menegaskan tuntutan pelaksanaan manifesto.

Mahkamah Rayuan memutuskan “kerajaan tidak harus terikat dengan manifesto pilihan raya.” (Rujuk Kerajaan Negeri Selangor & Anor lwn. Murtini Kasman & Ors. [2014] 7 CLJ 779). Jelas.

Dalam keterlibatan singkat merangka manifesto Pemuda PH, saya sendiri terpaksa berdepan dengan rakan-rakan pelbagai parti yang sudah tentu mempunyai pelbagai sudut pandang tersendiri tentang apa yang utama untuk diangkat sebagai manifesto kepada pengundi.

Tidak semua yang kita mahu diterima, tidak semua yang kita tidak setuju akan ditolak.

Dari segi politik juga, ada sesetengah cita-cita yang mahu dilaksanakan memerlukan satu perubahan dalam perlembagaan, misalnya jika kita mahu memberikan lebih banyak bidang kuasa persekutuan kepada negeri, atau menjadikannya bidang kuasa bersama. Sokongan dua pertiga diperlukan dalam sesetengah perkara.

Lazimnya, jika memiliki pengetahuan ekonomi yang baik, kita akan lebih berhati-hati bila merangka manifesto. Mereka akan memikirkan bukan sahaja soal dasar tetapi ia lazimnya sampai kepada anggaran kos untuk melihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

Sebagai contoh, untuk melaksanakan projek kereta api laju, data-data seperti perbandingan kos di negara-negara yang telah terlebih dahulu melaksanakannya serta kos dan tempoh masa untuk pengambilalihan tanah akan dianggarkan untuk melihat tahap kebolehlaksanaannya.

Bagi yang tidak atau kurang memiliki pengetahuan ekonomi yang baik, selalunya hujah-hujah yang dimajukan cenderung bersifat ideal.

Sebagai contoh, semua boleh bersetuju bahawa makan-minum adalah hak asasi manusia. Bagi mereka ini, kerana ia adalah hak asasi manusia, maka ia harus diberikan secara percuma.

Namun, bagi kes ini, belum tentu lagi semua boleh bersetuju bahawa nasi ini harus diberikan secara percuma, seolah-olah tidak ada rantaian kos dan menjejaskan hak asasi pihak lain.

Seorang yang berfikiran ekonomi juga mungkin berbeza pendirian dengan seorang yang berfikiran perniagaan. Seorang ahli ekonomi lazimnya bersikap konservatif dengan angka-angka manakala seorang ahli perniagaan pula suka mengambil risiko.

Sebenarnya, politik-ekonomi adalah bidang yang rumit. Sebab itulah dalam Islam, fiqh siyasah adalah cabang fekah yang anjal dan kita sentiasa mendapati isu-isu politik dan ekonomi tidak pernah habis dibincangkan dari semasa ke semasa.

Atas faktor itu, sangat sukar untuk menjamin sesuatu yang baik dapat dilaksanakan atau dapat dilaksanakan segera.

Pada masa yang sama, dunia bukanlah statik, ia berkembang dengan penemuan-penemuan baru daripada daya teroka manusia. Perkembangan sains dan teknologi ini lazimnya lebih pantas daripada perubahan dasar-dasar kerajaan.

Keanjalan kita dalam aspek dasar akan membolehkan hal-hal yang baru diberi ruang secukupnya untuk tumbuh.

Peralihan daripada satu dasar ke satu dasar yang baharu bukan sahaja akan memakan masa, tetapi tidak mustahil ketika ia sudah bertukar, ada perkembangan lebih baru yang menuntut satu dasar yang baharu pula.

Spektrum dasar tidak seharusnya rigid, kecuali dalam perkara-perkara tertentu. Kita tidak boleh mengadakan sebuah dasar yang membenarkan pembunuhan boleh dilakukan secara bebas.

Namun, pada masa yang sama kita harus mengakui pembunuhan tetap berlaku meskipun ada larangan dan hukuman keras terhadap pesalah.

Justeru, dasar untuk menangani pembunuhan sekiranya berlaku perlu ada. Ia bukan sahaja tentang pembunuhan secara sengaja, tetapi juga tanpa niat.

Ketidakfahaman terhadap spektrum dasar ini memang sering menimbulkan banyak kegelisahan dan dasar yang lemah.

Sebagai contoh, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah berkicau di akaun media sosial beliau tentang kepentingan mengamalkan seks selamat.

Ramai yang menuduh beliau mahu menggalakkan seks bebas, walhal yang cuba dijelaskan hanyalah satu daripada spektrum dasar yang ada.

Sama seperti contoh kes bunuh tadi, meskipun ada larangan dan hukuman, kita tidak boleh memejam mata bahawa memang ada berlaku amalan seks bebas.

Jangan kita lupa, meskipun ada larangan arak dan zina, di zaman Nabi s.a.w. sendiri tetap berlaku orang meminum arak dan berzina.

Jika saya menjadi pembangkang, saya akan berasa gembira apabila kerajaan tidak dapat melaksanakan sepenuhnya manifesto yang dikemukakan oleh parti-parti yang diwakili mereka.

Secara politiknya, saya boleh berkata manifesto parti pemerintah tidak realistik. Namun, yang lebih penting ialah ia membuka ruang untuk mereka mempengaruhi kerajaan dalam sesetengah dasar.

Ia dapat mengurangkan potensi pemimpin dan kerajaan menjadi tahu segalanya (justeru itu tidak lagi mahu dan sedia mendengar suara lain dan berbeza). Saya sendiri memang dikenali kurang bersetuju dengan sesetengah manifesto PH.

Seluruh penulisan ini memang bertujuan menunjukkan kerumitan melaksanakan manifesto.

Memang, tidak salah untuk menegaskan menjadi tanggungjawab moral untuk sesebuah kerajaan melaksanakan manifestonya, namun dakwaan itu akan hilang maknanya apabila pada masa yang sama kita percaya ada dasar-dasar yang lebih merugikan.

Ini tentulah menimbulkan pertanyaan besar tentang nilai sebuah manifesto yang diusulkan oleh parti-parti politik? Inilah persoalan yang perlu difikirkan bersama. – 20 Julai, 2018.

* Noor Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar dan ahli jawatankuasa pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen