FILEM Hindi yang memaparkan seksualiti wanita di India ditayangkan minggu ini selepas kemelut antara pengeluar filem dan badan penapisan filem negara itu dalam perjuangan menuntut hak wanita, kata pengarahnya.
“Lipstick Under My Burkha” akan ditayangkan di pawagam, lima bulan selepas badan penapisan filem negara itu enggan meluluskan tayangannya kerana mendakwa “berorientasikan wanita”.
Filem itu mengisahkan kehidupan dan hasrat empat wanita-termasuk seorang pelajar kolej yang memakai burkha, dan kehidupan seks wanita berusia 55 tahun selepas kematian suaminya.
“Saya merasakan yang tayangan itu bukan hanya soal ‘Lipstik’(filem itu) tetapi juga kemenangan dan perayaan yang wanita boleh menceritakan kisah mereka,” kata pengarahnya Alankrita Shrivastava kepada AFP.
Badan penapisan filem India, Central Board of Film Certification (CBFC) mencetuskan kemarahan ramai Febuari lepas selepas ia mengharamkan filem tersebut, mengatakan yang ia “berorientasikan wanita, fantasi mereka melampau kehidupan”. Keputusan itu mendapat kecaman meluas di media sosial.
Badan itu yang mempunyai sejarah mengharamkan filem yang dianggapnya lucah atau berisiko mencetuskan ketegangan agama, mendakwa yang filem itu mempunyai “adegan seksual, perkataan kesat dan ponografi audio”. Ia juga mengatakan yang filem itu mungkin menyinggung sensitiviti orang Islam.
Bagaimanapun, pengkritik mempersoalkan yang badan itu selalu meluluskan filem yang mempunyai jenaka menghina wanita yang diarahkan pengarah lelaki dan mensasarkan penonton lelaki muda.
Shrivasta yang marah dengan keputusan itu mencabarnya di tribunal rayuan yang pada April memberikan keizinan untuk filem itu ditayangkan dengan beberapa potongan adegan.
“Lipstick Under My Burkha” sudah ditayangkan di lebih 35 festival filem seluruh dunia, termasuk di Festival Filem Antarabangsa Tokyo dan memenangi anugerah di festival itu tahun lepas. – AFP, 18 Julai, 2017.
Komen