SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol, menuduh pengawal pantai Libya membiarkan tiga migran di perairan Mediterranean hingga menyebabkan dua daripadanya maut pada Selasa.
Mangsa yang terbunuh ialah seorang wanita dan kanak-kanak.
Menurut NGO dikenali Proactiva Open Arms itu, turut ditemui bersama mangsa seorang lagi wanita yang masih bernyawa, lapor agensi berita Xinhua.
Ketuanya, Oscar Camps berkata, tiga migran berkenaan enggan menaiki kapal Libya dan ditinggalkan di laut selepas bot mereka dimusnahkan.
Sementara itu, jurucakap pengawal pantai Libya, Ayoub Gassim berkata anggota pasukan pengawal pantai telah menjalankan tugas “mengikut piawaian antarabangsa dari aspek menyelamatkan nyawa manusia di laut.”
“Semua bencana di laut disebabkan oleh sindiket pemerdagangan orang yang hanya berminat mendapatkan keuntungan, selain kehadiran NGO yang tidak bertanggungjawab di rantau itu,” katanya.
Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, jumlah keseluruhan penghijrah dan pelarian yang memasuki Eropah melalui laut pada tahun ini ialah seramai 50,872 orang.
Setakat tahun ini, sejumlah 1,443 orang terbunuh atau dilaporkan hilang di Mediterranean.– Bernama, 19 Julai, 2018.
Komen