SEBUAH letupan kereta berani mati yang berlaku di pusat pemeriksaan Kurdish di utara Syria membunuh empat orang, kata organisasi Syrian Observatory for Human Rights hari ini.
Serangan itu berlaku ketika pasukan keselamatan Kurdish daripada Unit Perlindungan Rakyat (YPG) memperhebatkan serangan ke atas kubu kuat Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) di Raqa, sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang disokong Amerika Syarikat.
Organisasi yang berpangkalan di Britain itu berkata yang letupan itu berlaku di pusat pemeriksaan yang dikawal pasukan keselamatan Asasyesh di daerah Hasakeh, hampir 20 km dari bandar Ras al-Ain.
Sekurang-kurangnya dua yang terbunuh ialah anggota Asayesh sementara identiti dua lagi mangsa belum dapat disahkan.
Kawasan yang dikawal puak Kurdish seringkali diserang dan IS selalu mengaku bertanggungjawab. Masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbaru ini.
Pasukan Demokratik Syria yang disokong Amerika didominasi anggota Kurdish sedang bertempur dengan IS yang mengawal kubu kuat kumpulan itu di Raqa.
Pasukan itu kini berjaya menakluk kembali hampir 35 peratus bandar itu.
Lebih daripada 330,000 orang terbunuh di Syria sejak konflik negara itu yang bermula pada 2011 dengan protes anti kerajaan. – AFP, 18 Julai, 2017.
Komen