Mesir henti pemberian visa ketibaan kepada rakyat Qatar


Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry semalam mengumumkan pemberhentian pemberian visa ketibaan kepada rakyat Qatar berkuatkuasa Khamis. – Gambar EPA, 18 Julai, 2017.

MESIR berkata ia akan menghentikan pemberian visa ketibaan rakyat Qatar ketika pertikaian di antara empat negara Arab dan Qatar berkaitan tuduhan Doha menyokong keganasan masih berterusan.

Langkah itu yang akan berkuatkuasa pada Khamis tidak termasuk pasangan suami isteri atau pelajar universiti yang akan diberikan visa pelancong semasa ketibaan, kata jurucakap Kementerian Luar Negara Ahmed Abu Zeid.

Keputusan itu diumumkan semalam apabila Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry bertemu dengan rakan Kuwaitnya, Sheikh Sabah Khaled Al-Sabah yang cuba mengakhiri pertikaian itu.

Shoukry menegaskan Qatar harus memenuhi tuntutan blok Arab untuk menamatkan sekatan, kata kenyataan Kementerian Luar Negara.

Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain menuntut agar Qatar berhenti menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin dan menutup stesen televisyen antarabangsa Al-Jazeera yang  dituduh menghasut kekacauan di negara mereka.

Krisis Teluk adalah yang paling buruk melanda rantau itu sejak penubuhan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 1981. - AFP, 18 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen