Polis ambil keterangan Najib berhubung barang rampasan


Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata polis sudah mengambil keterangan Najib Razak berhubung barangan yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.

POLIS DiRaja Malaysia (PDRM) sudah memanggil dan mengambil keterangan Najib Razak berhubung barangan yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim.

“Saya rasa dah dipanggil, dah diambil keterangan, tiga empat hari lepas… kena check dengan Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak Amer Awal dengan Timbalannya Mohd Dzuraidi Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching hari ini.

Ketika ditanya, jangkaan pihaknya bila siasatan kes itu akan selesai, Noor Rashid berkata banyak lagi perkara harus dilakukan.

“Banyak lagi perkara harus diperhalusi, ambil keterangan saksi dan dalam masa terdekat kita akan dapat surat daripada Pendakwa Raya,” katanya. – Bernama, 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen