SEORANG pegawai keselamatan kanan Presiden Emmanuel Macron terbabit dalam skandal yang berpotensi merosakkan imej pemimpin Perancis itu pada Rabu selepas dirakamkan memukul seorang penunjuk perasaan.
Akhbar Le Monde menerbitkan rakaman video yang menunjukkan Alexandre Benalla, yang memakai visor polis, memukul dan kemudian menjatuhkan seorang lelaki semasa demonstrasi di pusat Paris pada 1 Mei.
Benalla, yang bukan seorang anggota polis dan sebelum ini bekerja sebagai pengawal peribadi, diberi izin untuk “memerhati operasi polis” pada cuti umum 1 Mei, kata pejabat Macron.
Pejabat presiden menambah bahawa Benalla telah digantung tugas selama dua minggu.
“Pengantungan ini adalah untuk menghukum tingkah laku yang tidak boleh diterima dan amaran terakhir sebelum dipecat,” kata jurucakap presiden, Bruni Roger-Petit kepada pemberita.
Pendakwa di Paris membuka siasatan pada Khamis ke atas kemungkinan pelbagai tuduhan antaranya keganasan oleh pegawai awam, menyamar sebagai anggota polis dan penggunaan tanda kebesaran polis secara haram yang menyalahi undang-undang.
Benalla adalah bekas kakitangan kempen Macron dan dijadikan kakitangan presiden pada Mei 2017.
Ahli Parlimen pembangkang menuduh bahawa insiden itu sengaja ditutup oleh kerajaan dan mempersoalkan mengapa ia tidak dilaporkan kepada polis ketika ia berlaku pada Mei.
Pemimpin Parti Sosialis Olivier Faure berkata berlaku dwi strandard dalam bagaimana tindakan diambil terhadap Benalla berbanding rakyat Perancis biasa.
Alexis Corbiere, seorang anggota Parlimen untuk parti yang tidak disenangi oleh kerajaan Perancis, berkata Benalla “patut dihukum dengan hukuman penjara, sekurang-kurangnya dikenakan hukuman gantung tugas dan dengan sekatan yang sangat berat.”
Penyokong Macron bagaimanapun menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas Benalla - penggantungan tanpa gaji selama dua minggu dan dipindah untuk bekerja di bahagian pentadbiran - sebagai setimpal.– AFP, 19 Julai, 2018.
Komen