RATUSAN ribu pelarian yang melarikan diri ke Bangladesh akibat keganasan di Rakhine, hanya akan kembali ke tanah air jika kerajaan Myanmar memberikan jaminan keamanan dan kewarganegaraan, lapor akhbar berbahasa Inggeris Myanmar Times.
Perkara itu disuarakan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Christine Schraner Burgener selepas bertemu dengan pelarian semasa lawatannya ke Bangladesh minggu lepas.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dan pegawai kanan lain.
Burgener berkata adalah penting untuk pelarian kembali dengan, selamat serta bermaruah.
Keadaan di Rakhine memerlukan penyelesaian politik dan bantuan antarabangsa yang lebih besar kepada pelarian dan komuniti tuan rumah, dalam menangani keadaan teruk yang dihadapi, katanya.
Beliau menambah PBB menyokong memorandum persefahaman yang ditandatangani Kerajaan Myanmar dengan Program Pembangunan PBB dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai langkah pertama yang penting.
Keutamaannya adalah untuk membantu menangani punca krisis, melalui pelaksanaan cadangan Suruhanjaya Penasihat di Rakhine, khususnya, menamatkan sekatan terhadap hak asasi seperti kebebasan bergerak serta menyelesaikan masalah kewarganegaraan, katanya.
“Penting bagi semua pihak untuk mengambil langkah konkrit ke arah matlamat itu. PBB bersedia untuk menyumbangkan pengalaman dan kepakaran diperlukan dalam hal berkenaan.”
Pada Jun, Kesatuan Perusahaan untuk Bantuan Kemanusiaan, Penempatan Semula dan Pembangunan di Rakhine mengeluarkan laporan, menyatakan kerajaan telah mengeluarkan lebih 2,200 kad pengenalan diri dan kira-kira 300 orang menerima pengiktirafan kewarganegaraan.
Menurut UNHCR, lebih 700,000 umat Islam telah melarikan diri susulan keganasan baru-baru ini di Myanmar.
Tahun lepas Myanmar dan Bangladesh menandatangani perjanjian, untuk mengembalikan semula umat Islam Rakhine yang lari ke Bangladesh selepas dua gelombang serangan yang melanda negeri itu. – Bernama, 19 Julai, 2018.
Komen