PAS beri laluan kepada Umno bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Mohd Dusuki, langkah politik yang membuka jalan kepada pertandingan satu lawan satu di kerusi dewan undangan negeri (DUN) itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi DUN Sg Kandis ditandingi empat calon.
Asyraf berkata sayap parti itu dimaklumkan oleh kepimpinan tertinggi Umno bahawa PAS sedia untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu bulan depan.
“Kami dimaklumkan akan berlaku satu lawan satu dan kita kena tanya PAS sama ada beri laluan ke tidak.
“Setakat kami dimaklumkan pucuk pimpinan PAS sedia beri laluan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Katanya, Pemuda Umno juga ada mengemukakan calon untuk diteliti pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam PRK itu.
“Pemuda cadangkan calon orang muda untuk diperincikan pucuk pimpinan, kita akan tunggu…kita menaruh harapan calon daripada orang muda.
“Pemuda bersiap sedia dan gunakan platform untuk gerakkan kepimpinan baru seluruh Malaysia dan menjadikan ini platform latihan kerana hampir 90% kepimpinan baru dan ini peluang terbaik untuk kita sebagai medan latihan dan menilai sejauh mana keyakinan rakyat kepada Umno dan BN,” kata Asyraf.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata Umno akan mengumumkan calonnya bagi kerusi DUN Sungai Kandis, esok.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandang kerusi berkenaan Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada PRU14, Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno, Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini. – 19 Julai, 2018.
Komen