Delta Mekong, Vietnam siap sedia hadapi wabak selesema babi


Seorang kanak-kanak kelihatan memakai penutup mulut dan hidung ketika berjalan di Hanoi. Vietnam dan Mekong mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak A/HINI. – Gambar fail AFP, 19 Julai, 2018.

WILAYAH di selatan Delta Mekong kini mengambil langkah untuk mencegah penularan wabak selesema babi influenza A/H1N1 di rantau itu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Musim hujan merupakan persekitaran sesuai untuk penyakit bermusim dan menjadikan rantau berkenaan berada di bawah risiko wabak A/HINI.

Sejak awal tahun ini, empat kematian akibat A/HINI dicatatkan di Delta Mekong, termasuk satu di wilayah Vinh Long dan wilayah Ca Mau, manakala dua di wilayah Ben Tre. Kes sama juga banyak direkodkan di wilayah Hau Giang.

Timbalan Pengarah Jabatan KesihatanWilayah Hau Giang, Phan Thanh Tung berkata pada April, kempen mencegah dan mengawal A/H1N1 dilancarkan bagi memberikan panduan rawatan kepada penduduk tempatan.

Selepas kes pertama, Jabatan Kesihatan kota Can Tho menghantar maklumat tentang langkah pencegahan kepada kemudahan perubatan swasta dan hospital awam di wilayah itu.

Aspek pengawasan dipertingkatkan untuk mengesan sebarang kes disyaki A/H1N1 terutamanya di pusat penjagaan kesihatan atau komuniti.

Hospital dan klinik memastikan kenderaan, peralatan perubatan dan ubat mencukupi untuk menangani sebarang wabak.

Virus influenza A/H1N1 boleh bertahan selama 24 hingga ke 48 jam di permukaan meja, kerusi dan kabinet, lapan hingga 12 jam pada pakaian, dan sekitar lima minit di telapak tangan.

Ia juga boleh bertahan empat hari pada air bersuhu 22 darjah Celsius dan hidup sehingga 30 hari pada suhu sifar Celsius.

Kolam renang di hotel boleh menjadi tempat virus paling mudah merebak, terutamanya pada musim hujan. – Bernama, 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen