KANADA dijangka menganjurkan mesyuarat pertama menteri luar wanita pada September ini, kata kerajaan semalam.
Mesyuarat itu akan berlangsung di Montreal pada 21 dan 22 September ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diadakan di New York, kata jurucakap Kementerian Luar Kanada, Adam Austen.
Acara itu akan dianjurkan oleh Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland bersama ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Federica Mogherini, menurut kenyataan oleh EU.
Pada masa ini terdapat kira-kira 30 wanita mengetuai diplomasi negara masing-masing iaitu lapan di Eropah (termasuk Mogherini); 10 di Amerika Latin dan Caribbean; lima di Afrika (termasuk Afrika Selatan) manakala yang lain di Asia termasuk India, Indonesia dan Australia.
Ottawa masih belum mengesahkan berapa ramai menteri akan hadir pada pertemuan di Quebec itu.
“Kami tahu mempromosi kesamaan jantina adalah penting untuk kemakmuran serta keamanan dan keselamatan di dunia.
“Mesyuarat pertama menteri luar wanita akan menyediakan peluang unik mengukuhkan komitmen ini menerusi perbincangan umum isu penting dihadapi dunia seperti perdamaian dan keselamatan, perubahan iklim dan keganasan sebagai tambahan meletakkan perspektif pemimpin wanita,” kata Austen.
Beliau berkata Kanada berharap acara itu akan menandakan permulaan satu tradisi kerjasama di kalangan menteri wanita. – AFP, 19 Julai, 2018.
Komen