PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte merancang untuk melanjutkan pelaksanaan undang-undang darurat di selatan negara itu bagi menumpaskan kumpulan militan Islam yang kini menakluk bandar utama kawasan itu, kata jurucakapnya hari ini ketika pengkritik memberi amaran yang negara itu sedang menuju pemerintahan diktator.
Duterte sebelum ini mengenakan pemerintahan tentera selama 60 hari di daerah Mindanao yang mempunyai 20 juta penduduk selepas pemberontak bersenjata yang dikaitkan dengan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) merampas bandar Marawi pada 23 Mei lalu.
Pertempuran antara pihak berkuasa dan militan sehingga kini sudah mengorbankan lebih 500 orang.
Selepas hampir dua bulan, kumpulan militan masih terus bertahan walaupun berdepan serangan pihak berkuasa dan permintaan Duterte untuk melanjutkan pemerintahan tentera sehingga 31 Disember mengejutkan pengkritik.
“Saya menyimpulkan yang pemberontakan sedia ada di Mindanao yang menyebabkan saya mengisytiharkan (undang-undang pemerintahan tentera) tidak akan dapat dihentikan sepenuhnya menjelang 22 Julai 2017,” kata Duterte dalam sepucuk surat kepada pemimpin Kongres.
Kongres dijangka bersidang Sabtu ini bagi membincangkan permintaan Duterte yang sudah bertemu dengan pemimpin Kongres Isnin lalu, kata jurucakap presiden, Ernesto Abella.
Presiden juga memohon Kongress untuk menangguhkan pelaksanaan perlindungan Perlembagaan yang menghalang tangkapan tanpa waran dilakukan.
“Ini tindakan mengundur ke belakang untuk demokrasi kita,” kata pemimpin pembangkang dan pengkritik utama pemerintahan tentera, Edcel Lagman yang menyifatkan permintaan Duterte sebagai tidak sah.
“Ini membuktikan wujud kemungkinan yang pemerintahan tentera boleh meliputi kawasan di luar Mindanao,” kata Lagman kepada AFP.
Lagman juga memberikan amaran yang ada potensi wujudnya salah guna pemerintahan tentera seperti yang berlaku dalam pemerintahan tentera diktator negara itu sebelum ini, Ferdinand Marcos.
Pemerintahan Marcos selama 20 tahun berakhir apabila pemberontakan rakyat besar-besaran berlaku pada 1986.
Perlembagaan negara itu membenarkan presiden untuk mengenakan pemerintahan tentera sehingga 60 hari selain membenarkan pihak berkuasa menahan suspek selama tiga hari tanpa dakwaan bagi menyekat pemberontakan atau pencerobohan.
Tetapi Kongres boleh memberikan keizinan untuk melanjutkan pemerintahan tentera selepas berakhirnya tempoh dua bulan itu. – AFP, 18 Julai, 2017.
Komen