Kerajaan digesa kaji agihan cukai sekiranya sokong pendidikan percuma


Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan perlu mengkaji semula agihan cukai kepada setiap negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2017.

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula pengagihan cukai kepada negeri sekiranya ia menyokong pemberian pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Malaysia kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pendidikan termasuk pengajian tinggi, di bawah Persekutuan tersenarai dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya dan janji Pakatan Harapan untuk memberi pendidik percuma bergantung pada kemenangan ke atas kerajaan persekutuan.

Nik Nazmi berkata demikian sebagai menjawab Menteri Pengajian Tinggi Idris Jusoh yang mencabar kerajaan Selangor melaksanakan pendidikan percuma kepada universiti milik negeri itu Unisel.

Bajet kerajaan negeri Selangor hanya RM3 bilion berbanding bajet kerajaan Persekutuan RM260 bilion, walaupun ia negeri terkaya di Malaysia yang menyumbangkan lebih 20% Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Ini berkait rapat dengan dasar cukai negara yang tidak memberikan pengagihan hasil secara adil. Tidak seperti di Jerman contohnya, melalui sistem Federal Financial Equalisation yang menyaksikan pembahagian cukai yang lebih efisyen dan adil di antara negeri dan mencecah hampir separuh hasil kutipan termasuk cukai syarikat, cukai pendapatan dan cukai tambah nilai.

“Sekiranya Menteri terasa seperti ingin menyokong usaha PH untuk memberi pendidikan percuma, cadangkan kepada rakan menteri lain di peringkat Kabinet untuk memperlihatkan semula pengagihan hasil di antara negeri,” katanya yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

Idris juga berkata unisel tidak akan mampu bertahan sekiranya tiada bantuan kewangan diberikan kepada pelajar seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kenyataan ini sengaja hendak mengelirukan kerana Menteri lebih suka berpolitik daripada membincangkan fakta,” kata Nik Nazmi.

“Struktur yuran Unisel juga adalah di kadar berkemampuan berbanding universiti swasta yang lain, dan di bawah IPR Selangor juga memberi sokongan pendidikan melalui Hadiah IPT. Tabung Biasiswa Selangorku, Peduli Siswa, bantuan pinjaman pendidikan boleh ubah yang bebas faedah serta Brain Bank, iaitu program biasiswa khas peringkat PhD ke universiti terkemuka luar negara.

“Unisel juga memperkenalkan program dermasiswa di peringkat asasi di mana pembelajaran asasi adalah percuma sekiranya pelajar menyambung peringkat sarjana muda di UNISEL. Jadi Menteri sepatutnya bercakap berlandaskan fakta, fokus untuk mempertingkatkan semula taraf pendidikan negara dan berhentilah main politik,” tambahnya.

Unisel, sebelum ini dikenali sebagai Universiti Industri Selangor ditubuhkan pada 1999. Pada Jun 2012, PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru.

Nik Nazmi berkata Selangor kini “melakukan keajaiban” dengan pengagihan kekayaan negara daripada bajet RM3.4 bilion melalui pelbagai inisiatif di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat. Ini terdiri daripada air percuma, bas percuma, WiFi percuma untuk skim subsidi penjagaan kesihatan utama (Peduli Sihat) dan subsidi prasekolah untuk keluarga berpendapatan rendah (Tunas). – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen