Majlis Hak Asasi Manusia ‘kegagalan terbesar’ PBB, kata Haley


Duta AS ke PBB Nikki Haley berkata penubuhan Majlis Hak Asasi Manusia ialah kegagalan terbesar PBB. – Gambar AFP, 19 Julai, 2018.

DUTA Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley semalam menggambarkan Majlis Hak asasi Manusia sebagai “kegagalan terbesar” PBB ketika beliau mempertahankan keputusan AS keluar daripada badan itu.

Haley dalam kenyataannya kepada Heritage Foundation, satu badan pemikir di Washington, berkata badan yang berpangkalan di Geneva itu memberikan “perlindungan, bukan kutukan terhadap rejim paling tidak berperikemanusiaan di dunia”.

“Melihat kepada sejauh mana ia gagal memenuhi janjinya, Majlis Hak Asasi Manusia ialah kegagalan terbesar PBB,” katanya.

Beliau pada bulan lalu turut mengumumkan AS akan keluar dari majlis itu, menuduhkan berat sebelah terhadap Israel dan mengutuk hipokrasi anggotanya termasuk China, Mesir, Venezuela dan Cuba.

Majlis Hak Asasi Manusia itu “bukan tempat terbaik untuk hati nurani, tetapi tempat politik”, kata Haley, menambah ia memfokuskan perhatiannya “secara tidak adil dan tanpa henti terhadap Israel”.

Kritikan AS berpunca daripada Israel satu-satunya negara yang mempunyai agenda khusus di mesyuarat majlis itu, yang bermakna layanan Israel terhadap rakyat Palestin sering dikritik.

Haley juga mengecam majlis itu kerana gagal bersuara kerana menyokong protes anti kerajaan di Iran, untuk mengutuk keganasan di Venezuela dan berkenaan pilihan raya di Congo.

Penarikan diri itu diikuti dengan kritikan PBB terhadap dasar Presiden Donald Trump mengasingkan kanak-kanak pendatang daripada keluarga mereka di sempadan AS-Mexico.

Haley sekali lagi menyelar kumpulan hak asasi seperti Amnesty International dan Human Rights Watch kerana gagal menyokong permohonan AS untuk mengubah majlis itu menerusi resolusi di mesyuarat agung.

Organisasi bukan kerajaan sebaliknya menggesa pentadbiran AS memohon perubahan di Geneva dengan mewujudkan lebih banyak pertandingan dalam pemilihan kerusi di majlis itu.

AS enggan menyertai badan berkenaan ketika ditubuhkan pada 2006 tetapi menyertainya pada 2009 ketika Barack Obama menjadi presiden. – AFP, 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen