19 lemas, puluhan pendatang hilang bot karam di Cyprus


Pasukan bantuan merawat pendatang yang cedera dalam kejadian bot karam di pelabuhan Tasucu di Mersin, Turki. – Gambar AFP, 19 Julai, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 19 pendatang lemas dan kira-kira 30 hilang pada Rabu selepas bot mereka karam di Laut Mediterranean di utara Cyprus, kata pasukan keselamatan tempatan.

Kapal itu membawa 150 orang, dilaporkan rakyat Syria, ketika ia karam.

Lebih 100 orang berjaya diselamatkan dalam operasi bersama oleh Turki Cyprus dan pengawal pantai Turki selepas bot itu tenggelam di kampung Gialousa (Yeni Erenkoy di Turki) di Semenanjung Karpas.

Seramai 102 pula dibawa dengan bot ke pelabuhan Tasucu di selatan Mersin Turki di mana mereka tiba pada petang Rabu, kata agensi berita Turki, Anadolu.

Mayat 19 mangsa juga dibawa ke Tasucu untuk bedah siasat. Seorang yang terselamat ialah kanak-kanak berusia tiga tahun, manakala seorang wanita yang lemas mengandung, kata akhbar Hurriyet.

Usaha mencari sedang dijalankan untuk mengesan bot yang hilang dengan turut dibantu beberapa kapal komersial, menurut laporan.

Agensi berita DHA Turki berkata mereka yang berada di dalam bot itu adalah rakyat Syria yang ingin ke Eropah tetapi ia masih belum disahkan.  – AFP, 19 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen