PENGHIBUR veteran British, Cliff Richard menang kes privasi terhadap BBC semalam selepas ia menyiarkan secara langsung di televisyen serbuan polis ke kediamannya dalam satu keputusan yang dianggap stesen penyiar itu sebagai mengancam kebebasan media.
Hakim Mahkamah Tinggi Anthony Mann berkata syarikat penyiar berkenaan melanggar hak Richard secara serius dan sensasi serta mengarahkan pampasan dibayar sebanyak RM1.11 juta.
Penyanyi berusia 77 tahun itu, yang tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan disambut sorakan peminat ketika meninggalkan mahkamah dan mereka menyanyikan lagu terkenalnya, “Congratulations”.
Penyanyi itu kemudian berkata, pengurus kanan di BBC perlu bertanggungjawab.
BBC berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rayuan, berkata keputusan itu mewakili satu perubahan dramatik terhadap kebebasan media dan keupayaan sekian lama wartawan melaporkan siasatan polis.
Kediaman Richard diserbu pada 2014 sebagai sebahagian siasatan terhadap dakwaan serangan seksual membabitkan seorang budak lelaki berkaitan satu kes pad awal 1980-an.
Liputan langsung BBC termasuk menggunakan helikopter disiarkan di seluruh dunia, namun penyanyi itu tidak pernah ditahan atau didakwa dan kemudian pada 2016, beliau dimaklumkan bahawa bukti tidak mencukupi untuk mendakwanya.
“Hidup saya kucar kacir dan reputasi saya rosak di seluruh dunia,” kata Richard. – AFP, 19 Julai, 2018.
Komen