AGENSI pencegahan rasuah Indonesia menamakan speaker Parlimen republik itu sebagai suspek dalam satu skandal rasuah yang dianggarkan membabitkan penyelewengan AS$170 juta daripada dana kerajaan.
Suruhanjaya Pembasmian Rasuah menamakan Setya Novanto sebagai suspek dalam satu kes besar yang turut membabitkan beberapa ahli politik kanan termasuk menteri kehakiman, bekas menteri dalam negeri dan beberapa gabenor.
Pengerusi suruhanjaya itu, Agus Rahardjo berkata Setya didakwa menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk kepentingan peribadi atau kepentingan sebuah syarikat.
Penyiasat mendakwa Setya antara ramai ahli politik yang menerima sogokan daripada projek kerajaan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada kira-kira 255 juta penduduk negara itu.
Mahkamah khas anti rasuah Indonesia berkata lebih satu pertiga daripada 5.9 trilion rupiah (A$443 juta) wang diselewengkan oleh jaringan ahli politik dan ahli perniagaan dalam satu skim yang didakwa beroperasi dari 2009 hingga 2015.
Setya yang juga pengerusi Golkar, salah satu parti dalam gabungan pemerintah, ialah suspek keempat yang diumumkan dalam kes itu, dan ia bakal menguji kesungguhan Presiden Joko Widodo dalam pendiriannya untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai kerajaan yang terbabit dengan rasuah.
Setya sebelum ini dinamakan sebagai suspek dalam satu kes rasuah lain yang memaksanya meletakkan jawatan sebagai speaker pada 2015.
Dia dibebaskan daripada tuduhan itu dan dilantik sebagai speaker pada 2016.
Indonesia berada di rangking ke-90 daripada 176 negara dan wilayah dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tahun lalu. Dalam indeks itu, rangking tertinggi bermakna paling kurang rasuah. – AFP, 18 Julai, 2017.
Komen