Antara ‘American Dream’ dan 'Impian Malaysia'


KENYATAAN Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sebuah forum di Sunway University baru-baru ini berkenaan hasratnya (kerajaan) untuk memansuhkan Biro Tatanegara (BTN) hanya bersandarkan hujah bahawa fungsi biro itu telah disalahgunakan oleh Umno sebelumnya.

Bagai saya, hujah itu kurang rasional, lebih-lebih lagi daripada seorang tokoh politik muda yang dihormati seperti beliau.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam pandangan yang terdahulu, kerajaan baharu tidak wajar menghakimi agensi ini semata-mata kerana fungsinya telah disalahgunakan oleh elit politik terdahulu hingga menjadi sebahagian daripada aparat Umno dengan “mencuci otak” anak-anak belia.

Jika itu hujahnya, maka Jabatan Peguam Negara wajar juga dimansuhkan. Felda dan Tabung Haji juga perlu dimansuhkan. Barulah adil.

Kedua, berkenaan hujah kerana ia telah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), maka ia wajib dimansuhkan. Kedua-dua hujah ini telah saya hadap dengan pandangan seadanya.

Saya berfikir mengapa tidak Biro Tatanegara ini dikembalikan kepada Kementerian Belia dan Sukan daripada dibiarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri?

Bukankah asal kewujudan BTN pada tahun 1970-an itu ditubuhkan di bawah kementerian yang sedang Syed Saddiq ketuai ini?

Pada peringkat awalnya agensi ini dijadikan makmal penyelidikan bagi pembangunan belia negara. Mengapa bukan ini dijadikan langkah mereformasikan agensi tersebut oleh Bro Menteri?

Berbalik kepada hujah pemansuhan ini sudah termaktub dalam manifesto PH, saya rasa manifesto ini tidak dapat lari daripada kelemahannya.

Semalam, Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Bersatu Wan Saiful Wan yang satu parti dengan Syed Saddiq, berkata beliau tidak ada data yang cukup ketika merangka manifesto PH pada pilihan raya umum lalu.

Ini menjelaskan lagi bahawa manifesto PH yang dirangka sebelum ini terdapat kelemahan kerana kekurangan data yang jelas dan tepat. Kita harus akuinya. Kerana itu, beberapa perkara di dalam manifesto tersebut agak sukar dilaksanakan. Maka satu kajian perlu dibuat demi memastikan ia boleh dilaksanakan dengan tempoh masa yang baharu.

Saya mengaitkan dua perkara ini untuk menjelaskan bahawa manifesto bukanlah kitab suci, sepertimana pandangan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Saya tidak melihat Biro Tatanegara sebagai medium politik kerajaan, apatah lagi sebagai medium politik kepartian sebagai mana Umno menggunakannya. Saya sebaliknya melihat BTN sebagai institusi awam yang perlu direformasikan atas kepentingan pembangunan sosial rakyat.

Peranan institusi ini harus dikembalikan untuk menggilap identiti rakyat khususnya golongan muda dan belia dan kelas pekerja termasuk kumpulan profesional, sebagai sebuah identiti negara bangsa.

Dari aspek sasaran peserta BTN ini, golongan muda dan kelas pekerja ini adalah kumpulan penyumbang yang penting terhadap ekonomi dan kestabilan sosial negara kita.

Satu kerangka baru diperlukan bagi mereformasikan modul dan agenda BTN agar ia benar-benar boleh menyumbang ke arah perpaduan nasional dengan cara yang lebih efektif.

Kerajaan PH juga harus mengkaji dan menstrukturkan kembali kos-kos peruntukan bagi agensi ini. Ini adalah keperluan reformasi iaitu perbelanjaan berdasarkan keperluan utama dan kecekapan dan ketelusan mengurus perbelanjaan menerusi dasar penjimatan.

Mereformasikan BTN dengan model yang baharu ini adalah berasaskan matlamat bangsa yang bernegara. Model ini harus bersifat inklusif melangkaui bangsa, agama dan budaya serta kelas sosial.

Kelemahan BTN sebelum ini kerana digunakan sebagai alat politik kepartian oleh Umno/BN harus diperbetulkan. Inilah masanya kerajaan PH menunjukkan bagaimana reformasi boleh dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

BTN boleh menjadi institusi untuk merealisasikan identiti sebuah negara bangsa. Jika Amerika memiliki American Dream, apakah kita tidak mempunyai Impian Malaysia? – 19 Julai, 2018.

* Mahdzir Ibrahim adalah ahli DAP.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen