LELAKI yang merupakan suspek utama dalam skandal serangan seksual yang menggemparkan agensi Hadiah Nobel Sastera sehingga menyebabkan anugerah itu ditunda tahun ini akan dibicarakan pada September atas dakwaan rogol, kata mahkamah Sweden.
Tokoh terkenal warga Perancis dalam arena kebudayaan, Jean Claude-Arnault, yang berkahwin dengan bekas ahli Akademi Sweden yang memilih pemenang Hadiah Nobel Sastera didakwa kerana merogol seorang wanita sebanyak dua kali di Stockholm pada 2011.
Mahkamah Stockholm memberitahu AFP yang pendengaran kes akan dijalankan pada 19, 20 dan 24 September.
Menurut kertas pendakwaan yang dilihat AFP, suspek berusia 71 tahun itu didakwa memaksa mangsa- yang berada dalam keadaan “sangat takut”- untuk mengadakan seks oral dan hubungan seks di sebuah apartmen di Stockholm pada 5 Oktober 2011.
Arnault, yang menafikan dakwaan itu juga dituduh merogol mangsa sekali lagi pada malam 2 dan 3 Disember ketika mangsa sedang tidur.
November lalu, akhbar Sweden, Dagens Nyheter menerbitkan keterangan 18 wanita yang mendakwa dirogol, diserangan secara seksual atau diganggu seksual oleh Arnault, yang mempunyai hubungan baik dengan Akademi Sweden.
Kekecohan yang berlaku dalam institusi budaya dihormati ramai disebabkan skandal itu menyebabkan perpecahan dalam kalangan 18 ahlinya dan enam daripada mereka meletak jawatan- termasuk setiausaha tetap pertama akademi, Sara Danius.
Pada Mei, akademi itu berkata tidak akan mengumumkan penerima Hadiah Nobel Sastera tahun ini- pertama kali sejak 70 tahun lalu- disebabkan skandal itu.
Ia juga memutuskan hubungan dengan Arnault dan pusat kebudayaan yang diasaskannya, Forum yang selama ini menerima pembiayaan. Pusat itu sudah ditutup sejak skandal itu terbongkar. – AFP, 18 Julai, 2018.
Komen