MAHKAMAH Turki hari ini memutuskan enam aktivis hak asasi kemanusiaan termasuk pengarah Amnesty International Turki kekal berada dalam tahanan kerana membantu kumpulan keganasan.
Idil Eser ditahan pada 5 Julai bersama-sama dengan tujuh aktivis lain dan dua jurulatih asing semasa bengkel pengurusan keselamatan dan maklumat mengenai Buyukada, sebuah pulau di selatan Istanbul.
“Enam ditahan dalam tahanan dan empat dibebaskan dalam kawalan kehakiman,” kata penyelidik Amnesty International Turki, Andrew Gardner.
Pendakwa menuduh mereka “melakukan jenayah atas nama organisasi keganasan tanpa menjadi ahli,” katanya.
Penahanan mereka mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menguatkan kebimbangan merosotnya kebebasan bersuara di bawah pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Arahan itu dikeluarkan sehari selepas kesemua aktivis yang belum dibicarakan atau didakwa secara rasmi itu memberi keterangan kepada pendakwa untuk kali pertama sejak penahanan mereka.
Lapan daripada mereka yang ditahan adalah aktivis hak asasi Turki termasuk Ilknur Ustun daripada Gabungan Wanita dan Veli Acu daripada Persatuan Agenda Hak Asasi Manusia. Empat daripada mereka kini dibebaskan, kata Gardner.
Dua warga asing - seorang warga Jerman dan warga Sweden yang mengetuai bengkel maklumat digital - kekal dalam tahanan sebelum perbicaraan.
Gardner berkata, keputusan mahkamah itu adalah “penyalahgunaan keadilan yang mengejutkan.”
“Ia sasaran bermotifkan politik bukan sahaja kepada enam pembela hak asasi manusia yang ditahan dalam tahanan penjara sebelum perbicaraan tetapi juga seluruh gerakan hak asasi manusia Turki,” katanya.
“Apa yang kita pelajari hari ini ialah mempertahankan hak asasi manusia menjadi satu jenayah di Turki.
“Selepas keputusan ini, tiada siapa yang mempertahankan hak asasi manusia di Turki, sama ada Amnesty International atau organisasi lain, selamat di negara ini. Keputusan ini tidak boleh dibenarkan.” kata Gardner. – AFP, 18 Julai, 2017.
Komen