Darurat Turki tamat Rabu


Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat seluruh negara pada 20 Julai 2016, lima hari selepas pesawat tentera mengebom Ankara dan pertempuran berdarah tercetus di Istabul dalam cubaan rampasan kuasa yang membunuh 249 orang. – Gambar EPA, 18 Julai, 2018.

DARURAT Turki yang dilancarkan selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016 akan ditamatkan pada Rabu tetapi pembangkang bimbang ia akan diganti dengan perundangan yang lebih menekan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat seluruh negara pada 20 Julai 2016, lima hari selepas pesawat tentera mengebom Ankara dan pertempuran berdarah tercetus di Istabul dalam cubaan rampasan kuasa yang membunuh 249 orang.

Darurat itu yang biasanya tamat selepas tiga bulan dilanjutkan selama tujuk kali menyaksikan sejumlah 80,000 orang ditangkap dan hampir dua kali ganda lagi dipecat daripada pekerjaan mereka dan institusi awam.

Pembersihan besar-besaran dalam sejarah Turki moden itu bukan sahaja menyasarkan mereka yang didakwa menyokong Fethullah Gulen, pendakwah berpangkalan di AS yang didakwa jadi dalang rampasan kuasa, tetapi juga aktivis Kurdish dan pihak berhaluan kiri.

Bekas pemimpin pembangkang pro Parti Demokratik Rakyat Kurdish (HDP)- Figen Yuksekdang dan Selahattin Demirtas- masih meringkuk dalam penjara selepas ditahan pada November 2016 atas tuduhan berhubungan dengan militant Kurdish.

Pada kempen pilihan raya presiden bulan lepas yang dimenanginya, Erdogan berikrar akan menamatkan darurat.

Dan ia akan ditamatkan pada 1:00 pagi Khamis (2200 GMT Rabu) dengan kerajaan tidak meminta ia dilanjutkan.

Tetapi pembangkang bengang dengan tindakan kerajaan menghantar rang undang-undang baharu ke Parlimen yang dianggap usaha menjadikan beberapa aspek darurat yang menekan sebagai undang-undang sah.

Rang undang-undang yang dinamakan “anti keganasan” oleh media pro kerajaan akan dibincangkan pada peringkat suruhanjaya pada Khamis dan di peringkat panel pada Isnin.

Pembangkang utama Turki, Parti Rakyat Republik (CHP) berkata perundangan baharu itu sama sahaja peranannya dengan darurat.

Di bawah perundangan baharu itu, pihak berkuasa diberikan kuasa tiga tahun lagi untuk memecat mana-mana penjawat awam yang dianggap mempunyai kaitan dengan “pengganas”, mengekalkan fungi utama darurat.

Bantahan dan perhimpunan akan diharamkan diadakan di tempat terbuka pada waktu malam, walaupun pihak berkuasa boleh memberikan kebenaran ia diadakan sehingga tengah malam jika tidak menganggu ketenteraman awam.

Pihak berkuasa tempatan pula diberikan kuasa menghalang individu keluar atau masuk kawasan tertentu selama 15 hari atas asas keselamatan.

Dan suspek boleh ditahan tanpa bicara selama 48 jam atau sehingga empat hari dalam kes pelbagai kesalahan.

Tempoh itu pula boleh dilanjutkan dua kali ganda lagi jika wujud kesukaran mengutip bukti atau kes itu dianggap merbahaya.

Selepas pengisytiharan darurat dirasmikan pada 8 Julai, 18,632 dipecat- 8,998 mereka anggota polis- kerana disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas dan kumpulan “mengancam keselamatan negara”. – AFP, 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen