DALAM usaha untuk menyelamatkan jutaan nyawa serta mengurangkan kos rawatan, saintis Australia membangunkan satu ujian darah baharu bagi membolehkan kanser melanoma dikesan pada peringkat awal.
Menurut satu kenyataan mengenai hasil kerja saintis Universiti Edith Cowan, ujian itu dijalankan dengan mengesan antibodi dihasilkan badan yang bertindak balas terhadap melanoma dan mengenal pasti sel-sel kanser kulit sebelum ia merebak.
Agensi berita Xinhua melaporkan, ujian darah dilakukan terhadap 209 orang, 105 daripadanya penghidap melanoma.
Pasukan tersebut turut menjalankan ujian ke atas lebih 1,600 antibodi berbeza dan mengenal pasti 10 kombinasi yang dianggap paling dipercayai untuk mengesan kehadiran melanoma, tambah kenyataan itu.
Kadar survival melanoma antara 90 dan 95 peratus jika penyakit tersebut dikesan lebih awal, tetapi jika kanser telah merebak, kadar itu menurun hingga 50 peratus.
Pada masa sekarang, melanoma boleh dikesan menerusi biopsi, tetapi tiga daripada empat biopsi yang dijalankan menghasilkan keputusan negatif, kata para penyelidik.
“Biopsi menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit dan mahal,” dengan Australia membelanjakan lebih 200 juta dolar Australia (AS$147.7 juta) setiap tahun, lebih 70 juta dolar Australia (AS$51.7 juta) adalah biopsi negatif.
Australia merupakan antara negara yang mempunyai penghidap melanoma tertinggi di dunia dan pada 2017 sahaja lebih 1,800 orang dijangka meninggal dunia akibat penyakit itu,menurut Institut Melanoma Australia. – Bernama, 18 Julai, 2018.
Komen