SYARIKAT penerbangan Garuda Indonesia pada Selasa dinobatkan sekali lagi sebagai ‘Krew Kabin Terbaik Dunia’ untuk tahun kelima, oleh agensi penarafan perkhidmatan penerbangan yang berpangkalan di London Skytrax, lapor The Jakarta Post.
Anugerah tersebut berdasarkan tinjauan ke atas kepuasan pelanggan Skytrax yang melibatkan lebih 18 juta penumpang dari seluruh dunia.
Sebanyak 41 aspek utama berkaitan dengan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan diukur dalam tinjauan itu.
“Garuda Indonesia berjaya membuktikan ia komited untuk memberikan perkhidmatan krew kabin terbaik yang diiktiraf dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia dan Presiden Pengarah Pahala N. Mansury.
Beliau berkata, penghargaan itu bukti dedikasi pekerja Garuda Indonesia dan akan menjadi motivasi untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka.
Di samping itu, Garuda Indonesia juga tersenarai sebagai 10 syarikat penerbangan terbaik di dunia. – Bernama, 18 Julai, 2018.
Komen