Lulusan UEC wajar diberi peluang berbakti kepada negara, kata kumpulan pendidikan


Low Han Shaun

Lulusan UEC yang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti China dan Taiwan perlu diberikan peluang berbakti kepada negara dalam perubahan ekonomi global yang makin dikuasai China, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (Page). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2018.

LULUSAN Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang melanjutkan pelajaran di China wajar digalakkan pulang dan menyumbang kepada kerajaan, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (Page).

Setiausaha Kehormat Page Tunku Munawirah Putra berkata pelajar lulusan UEC perlu digalakkan pulang ke negara dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia menggunakan kepakaran mereka.

“Sekarang kita bercakap tentang China yang akan ambil alih pasaran, tetapi apabila ada lulusan UE yang kembali dari universiti di Taiwan misalnya dengan pengetahuan mereka dengan ekonomi China, kenapa tak bawa mereka ini pulang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya sebelum ini berjanji untuk mengiktiraf kelulusan yang digunakan pelajar sekolah persendirian Cina itu untuk memasuki universiti awam.

Susulan kejayaan menakluk Putrajaya pada 9 Mei lalu, aktivis pendidikan Cina bersedia melihat janji itu dilunaskan, tetapi aktivis pendidikan Melayu dan kumpulan orang Melayu melihatnya sebagai cubaan yang boleh menghapuskan kepentingan Bahasa Melayu.

“Tak kisah sebenarnya sama ada pendidikan Melayu atau Cina kerana yang kita mahu adalah kualiti pendidikan, itu asasnya,” kata Tunku.

Katanya lagi, UEC boleh menjadi platform untuk merangsang pembentukan perpaduan nasional apabila pelajar sekolah rendah vernakular memasuki sekolah menengah kebangsaan.

“Di akhir nanti mungkin kita boleh berusaha mewujudkan perpaduan nasional di universiti awam dengan mengambil pelajar lulusan UEC.

“Jika ia jadi kaedah untuk berusaha bersama-sama dan mewujudkan perpaduan yang lebih baik, mengapa tidak?”

Buat masa sekarang, universiti awam tempatan tidak mengiktiraf keputusan UEC untuk kemasukan, tetapi sijil itu diterima sebagai syarat kemasukan universiti swasta.

Tambahnya lagi, UEC sepatutnya jadi ujian kelayakan antarabangsa yang lain, seperti kelayakan tambahan untuk memasuki universiti awam.

“Pelajar dah pun ambil Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk kefasihan Bahasa Inggeris, mengapa tidak UEC?” – 18 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen