PARLIMEN India pada Rabu menerima usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, yang dikemukakan pihak pembangkang iaitu Parti Kongres dan dua parti wilayah.
Speaker Dewan Rakyat (Lok Sabha), Sumitra Mahajan berkata notis berkaitan usul itu dikemukakan oleh Parti Kongres bersama Parti Nasional (TDP) Andhra Pradesh dan Parti Kongres Nasionalis Maharashtra.
Agensi berita Xinhua melaporkan, bagaimanapun, ia tidak akan memberikan ancaman kepada Kerajaan India, memandangkan Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Tambahan pula, ia mempunyai rakan gabungan yang bersama membentuk Perikatan Demokratik.
Ketua Menteri TDP Andhra Pradesh, N. Chandrababu Naidu merupakan individu utama di belakang usul berkenaan.
Parti itu keluar dari Perikatan Demokratik Nasional pada Mac lepas dan membawa bersama dua menteri dari kerajaan kerana Modi enggan memberikan status istimewa kepada negeri di selatan India itu.
Pilihan raya umum dijadual berlangsung pada Mei tahun depan. – Bernama, 18 Julai, 2018.
Komen