PERU telah menahan lebih 50 orang dalam satu operasi tentera mengejut di sepanjang sempadannya dengan Colombia di kawasan pedalaman dalam usaha membanteras pengeluaran dan penyeludupan dadah di wilayah Putumayo.
Presiden Peru Martin Vizcarra berkata tentera negara itu bekerjasama dengan Colombia untuk melaksanakan “Operasi Armageddon” pada awal Isnin apabila mereka berjaya memberkas suspek di rantau Amazon itu.
“Lebih 50 orang telah ditahan, kebanyakannya rakyat Colombia yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah secara haram,” kata Vizcarra dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen dari Putumayo.
Media nasional Peru menyebut sejumlah 51 orang telah ditahan dan 41 daripadanya adalah rakyat Colombia.
Suspek rakyat Colombia merupakan pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang berlindung di kawasan itu.
Turut dirampas peralatan daripada empat makmal yang digunakan untuk memproses kokain.
Antara lain, mereka turut menemui kapur, daun koka, 15 gelen sulfat kokain, 20 paket ganja dan peralatan bermotor, menurut Menteri Dalam Negeri Mauro Medina.
Vizcarra telah mengisytiharkan keadaan darurat di wilayah Putumayo, yang terletak di sempadan Colombia dan Ecuador, selama 60 hari yang berkuat kuasa mulai Isnin.
Presiden itu bersama-sama beberapa menteri dan lebih 350 anggota pasukan keselamatan Peru telah berkunjung ke wilayah tersebut dengan menaiki lima helikopter, tiga pesawat dan dua kapal peronda.
Medina berkata ini merupakan kali pertama Peru melakukan operasi sedemikian di utara sempadannya, yang menyaksikan rampasan terbesar dadah di negara itu setakat ini. – Bernama, 18 Julai, 2018.
Komen