Pembelian hotel: SPRM rekod keterangan dua individu


Dua individu terbabit tiba secara berasingan di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 10 pagi untuk memberi keterangan berhubung pembelian sebuah hotel di London. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Julai, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan pengarah Felda Investment Corporation (FIC) dan seorang wanita berhubung pembelian hotel di Kensington, London bernilai RM330 juta.

Dua individu terbabit termasuk pengarahnya Nik Azman Mohamed Zain, memberi keterangan mereka di ibu pejabat SPRM Putrajaya. Kedua-dua mereka tiba berasingan kira-kira jam 10 pagi, lapor BH Online.

Sementara itu Bernama melaporkan, SPRM mendapat senarai saksi utama untuk diambil keterangan dalam siasatan pembelian hotel empat bintang itu.

Pertemuan dengan pegawai FIC itu merupakan susulan daripada serbuan di ibu pejabat anak syarikat Felda di Jalan Gurney 1, Kuala Lumpur yang dijalankan suruhanjaya terbabit semalam.

Serbuan di FIC itu berjalan selama lapan jam. Pegawai SPRM dilaporkan turut merampas beberapa kotak dan beg dipercayai mengandungi dokumen berkaitan pembelian yang dibuat pada 2014.

Menurut laporan siasatan awal, FIC didakwa membeli hartanah pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding harga semasa menyebabkan syarikat berkenaan menanggung kerugian jutaan ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dalam satu kenyataan minggu lalu berkata butiran siasatan dijalankan bagi mencari sekiranya terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah berhubung pembelian itu.  – 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen