Turki kutuk Israel tutup kawasan Baitulmaqdis


Polis Israel dilihat bertengkar dengan umat Islam Palestin selepas perkarangan Masjid al-Aqsa di Jerusalem ditutup. – Gambar EPA, 18 Julai, 2017.

TURKI mengutuk tindakan Israel menutup kawasan Baitulmaqdis selama dua hari susulan serangan maut dan menyifatkan ia “jenayah kemanusiaan”.

“Keputusan ini jenayah terhadap kemanusiaan dan kebebasan beragama. Dari sudut pandang hak asasi manusia, ia tidak dapat diterima,” kata Timbalan Perdana Menteri Turki Numan Kurtulmus.

Kurtulmus pada sidang media di Ankara selepas mesyuarat Kabinet berkata keputusan itu tidak dapat diterima dan amat mengecewakan.

Perkarangan Haram al-Sharif terkenal sebagai “Temple Mount” dalam kalangan penduduk Yahudi termasuk “Dome of the Rock” dan Masjid al-Aqsa.

Kawasan itu dianggap tempat ketiga paling suci bagi umat Islam dan tempat paling suci bagi penganut agama Yahudi.

Mei lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menganggap tindakan Israel melarang penggunaan pembesar suara ketika azan sama seperti amalan aparteid di Afrika Selatan. – AFP, 18 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen