RUSIA kesal dengan keputusan Perancis untuk menutup misi perdagangannya di Moscow, dan mahu hubungan ekonomi dua hala terus dibangunkan.
“Keputusan untuk menutup misi perdagangan adalah hak berdaulat Perancis. Kami cuma kecewa kerana Paris enggan mendengar cadangan yang diberikan,” kata Kementerian Luar Rusia.
Menurut agensi berita Xinhua, Kedutaan Perancis mengumumkan keputusan itu pada 16 Julai di Moscow.
Menurut pihak kedutaan, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perniagaan Perancis di Rusia semakin teruk, berikutan pendedahan akaun bank dan pemecatan pengarahnya.
Pada Mac lepas, Pierric Bonnard, pengarah Perniagaan Perancis di Rusia, diusir bersama diplomat Perancis yang lain, sebagai membalas tindakan Perancis mengusir diplomat Rusia susulan kes keracunan membabitkan bekas pengintip Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di Britain.
Menurut Kementerian Luar Rusia, ia kerap kali memaklumkan kepada pihak Perancis bahawa status misi perdagangan harus diselesaikan selaras dengan undang-undang Rusia.
Katanya, perwakilan Perancis yang berada di Moscow diberi pilihan, sama ada berdaftar sebagai entiti sah atau membuat persetujuan antara kerajaan dengan Persekutuan Rusia.
“Di pihak Rusia, kami akan terus mahukan pembangunan perdagangan dua hala dan hubungan ekonomi, tetapi dengan syarat mematuhi undang-undang negara,” katanya. – Bernama, 18 Julai, 2018.
Komen