Kompleks kediaman runtuh di India, 2 maut setakat ini


Pekerja kecemasan yang mengalihkan besi dan konkrit sejak malam semalam menemui dua mayat pagi tadi dari runtuhan kompleks kediaman di Greater Noida, di timur New Delhi. – Gambar AFP, 18 Julai, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA dua terbunuh dan ramai lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh menimpa kompleks kediaman di luar Delhi, kata pihak berkuasa.

Pekerja kecemasan yang mengalihkan besi dan konkrit sejak malam semalam menemui dua mayat pagi tadi dari tempat kejadian di Greater Noida, sebuah bandar satelit di timur ibu kota India.

“Kami tidak ada bukti kukuh berkenaan jumlah mangsa di bangunan itu pada waktu kejadian,” kata ketua pegawai bomba wilayah itu, Arun Kumar Singh.

Katanya, jumlah mangsa yang terperangkap masih belum diketahui, dan laporan jumlah keluarga yang menetap di kompleks itu juga tidak dapat disahkan.

Sekurang-kurangnya 100 pekerja kecemasan menggunakan pemotong besi dan jentera berat untuk membersihkan kawasan dan mencari mangsa.

Bangunan enam tingkat itu roboh pada petang Selasa menimpa bangunan kediaman empat tingkat yang baru saja siap dibina.

Sebahagian Greater Noida terkenal dengan pembinaan tidak mengikut peraturan dan biasanya didiami keluarga kelas pertengahan kerana harga rumah di ibu kota India itu sangat tinggi.

Kebanyakan pemaju hartanah mengabaikan peraturan pembinaan yang ditetapkan kerajaan, dan menggunakan bahan tidak mencapai standard untuk mendapatkan keuntungan maksimum, menurut laporan.

Bangunan runtuh adalah perkara biasa di seluruh India, terutama pada musim monsun dari hujung Jun hingga September.

Sekurang-kurangnya 18 maut pada Mei apabila sebuah persimpangan bertingkat runtuh di utara India, menghempap kenderaan dan penumpang.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 30 terbunuh dan berpuluh lagi cedera selepas sebuah rumah berusia 100 tahun runtuh di barat Mumbai. – AFP, 18 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen