SEORANG pakar bedah kosmetik selebriti Brazil yang dikenali sebagai Dr Bumbum kini melarikan diri susulan kematian seorang pesakitnya beberapa jam selepas menjalani pembedahan di rumah doktor berkenaan di Rio de Janeiro.
Denis Furtado dianggap mampu melakukan keajaiban terhadap tubuh wanita, terutama sekali bahagian punggung, dan dikenali di seluruh negara kerana kepakarannya itu.
Akaun doktor berusia 45 tahun itu mempunyai 650,000 pengikut.
Tetapi kini beliau dikehendaki oleh polis selepas Lilian Quezia Calixto meninggal dunia hanya beberapa jam selepas menjalani prosedur membesarkan punggung di rumah Dr Bumbum di kawasan kejiranan mewah Barra de Tijuca.
Calixto datang bertemu doktor itu dari rumahnya di Cuiaba, sejauh 2,000km.
Tetapi akibat suntikan kontroversi menggunakan pengisi kaca akrilik, Calixto dipercayai mengalami kesakitan.
Ketika tiba di hospital pada Ahad, mangsa mengalami pernafasan laju dan hipertensi dan meninggal dunia selepas empat kali serangan jantung.
Tidak lama selepas itu, Furtado menghilangkan diri dan kini dikehendaki bagi siasatan kes pembunuhan dan jenayah, sementara teman wanitanya, yang juga dikatakan pembantunya, sudah ditahan.
Berita itu menggemparkan seluruh industri itu – Brazil negara kedua selepas Amerika Syarikat yang paling banyak menjalankan pembedahan plastik.
Persatuan Pembedahan Plastaik Brazil (SBPC) mengecam Furtado, berkata pertambahan bukan pakar dalam industri itu menyebabkan semakin banyak kes kematian seperti ini.
“Anda tidak boleh menjalankan pembedahan plastik di dalam pangsapuri. Ramai orang menjual impian, fantasi kepada pesakit dengan cara tidak beretika dan orang ramai, sering tertarik dengan harga rendah, tanpa mempertimbangkan sama ada semua syaratnya dipenuhi,” kata Presiden SBPC Niveo Steffen.
Steffen berkata suntikan biopolimer atau polimer sintetik seperti kaca akrilik, sangat bahaya dan menyebabkan berpuluh kematian dalam kalangan wanita di Amerika Latin, terutama di Venezuela.
Menurut laman web G1, Furtado pernah didakwa oleh polis sebanyak empat kali kerana menjalankan amalan perubatan secara haram dan melakukan jenayah terhadap pengguna. – AFP, 18 Julai, 2018.
Komen