POLIS di Texas pada Selasa menahan seorang lelaki yang disyaki sebagai pembunuh bersiri yang membunuh sekurang-kurangnya empat orang dalam tempoh tujuh hari.
Jose Gilberto Rodriguez ditahan selepas cuba melarikan diri dengan kereta, dan didakwa atas dua tuduhan bunuh. Pendakwaan kes pembunuhan ketiga dijangka dibuat pada Rabu sebaik sahaja bukti tambahan selesai diproses.
Penduduk di pinggir bandar Houston memaklumkan pihak berkuasa lokasi kenderaan lelaki berusia 46 tahun itu pada pagi Selasa, beberapa jam selepas pihak polis dimaklumkan orang awam terdapat pembunuh bersiri yang sedang bebas.
Polis berkata Rodriguez dalam parol yang sepatutnya dipantau oleh alat yang dipasang pada kakinya, namun ditanggalkan beberapa hari sebelum didakwa melakukan jenayah.
The Houston Chronicle melaporkan Rodriguez terbabit dalam salah laku seks, dan memiliki rekod jenayah keganasan sejak 1989.
Jenayah terbaru yang didakwa dilakukan Rodriguez sekaligus mendedahkan kegagalan pihak berkuasa untuk mengawal Rodriguez ketika dalam parol daripada melanggar syarat pembebasannya dari penjara. – AFP, 18 Julai, 2018.
Komen