PASUKAN keselamatan yang setia kepada Presiden Daniel Ortega melancarkan serangan ke atas kubu kuat pembangkang di Nicaragua pada Selasa, ketika gesaan antarabangsa memuncak untuk menghentikan keganasan di negara Amerika Tengah itu.
Serangan ke atas bandar Masaya berlaku selepas penunjuk perasaan menawan sebuah gereja di ibu negara Managua pada hujung minggu lalu, menyebabkan Ortega menggunakan kekerasan.
Menurut pihak kerajaan, ia melakukan “pembebasan” pekan dan bandar di mana penunjuk perasaan aktif.
Polis dan pasukan separa tentera pada Selasa menutup semua laluan utama ke Masaya di kejiranan Monimbo, dan bunyi tembakan turut kedengaran. Klip video yang tersebar di media sosial memaparkan penunjuk perasaan di Monimbo bertindak membalas tembakan itu, menggunakan mortar buatan sendiri.
Ketua Pusat Hak Asasi Manusia Nicaragua, Vilma Nunez berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh iaitu seorang wanita dan anggota polis.
Media negeri itu mengesahkan kematian anggota polis terbabit namun tidak menyatakan angka kematian daripada serangan itu.
Sekumpulan wartawan, termasuk AFP, yang cuba memasuki Monimbo untuk mengesahkan situasi ditembak oleh lelaki bersenjata pro-kerajaan bagi menghalang kemaraan mereka.
Lebih 1,000 lelaki melepaskan tembakan daripada senjata automatik memasuki bandar yang memiliki 100,000 penduduk pada awal Selasa, kata penduduk.
“Mereka menyerang kami dari pelbagai laluan masuk di Monimbo,” kata pemimpin gerakan pelajar Cristian Fajardo menerusi mesej WhatsApp.
“Mereka menyerang Monimbo! Peluru mengenai gereja Maria Magdalena, di mana paderi berlindung,” kata salah seorang paderi Silvio Baez menerusi Twitter.
“Semoga Danel Ortega menghentikan pembunuhan beramai-ramai. Rakyat Monimbo, saya merayu selamatkan diri kamu!”
Amerika Syarikat memberi amaran kepada Ortega berhubung serangan ke atas Masaya. Ia turut menggesa agar serangan ke atas penunjuk perasaan anti-kerajaan yang menyebabkan 280 orang maut sejak tiga bulan lalu dihentikan. – AFP, 18 Julai, 2018.
Komen