ARAB Saudi pada Selasa menjalankan hukuman bunuh kepada tujuh tahanan yang disabitkan kesalahan membunuh dan penyeludupan dadah, lapor media negara itu.
Negara ultra konservatif itu adalah salah sebuah negara dunia yang mempunyai kadar hukuman mati tertinggi, pesalah yang disabitkan kesalahan keganasan, bunuh, rogol, rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah akan dijatuhi hukuman mati.
Dua warga Arab Saudi dan tiga warga Chad dihukum bunuh selepas didapati bersalah menculik dan membunuh seorang pengawal keselamatan warga Pakistan dengan tujuan merompak gudang yang dikawalnya, menurut agensi berita negara itu SPA.
Seorang lagi warga Arab Saudi pula dihukum bunuh kerana membunuh seorang lelaki, lapor SPA lagi.
Seorang warga Lebanon pula dihukum bunuh kerana cuba menyeludup dadah jenis “captagon” ke dalam negara itu. “Captagon”, sejenis dadah yang popular dalam kalangan tentera di zon perang selalunya dicampurkan dengan amphetamine, kafein dan bahan perangsang lain dalam bentuk pil.
Hukuman yang dijalankan pada Selasa itu membawa kepada jumlah keseluruhan 73 orang dihukum mati di negara itu tahun ini sahaja, menurut kes dikumpul AFP.
Arab Saudi adalah negara ketiga kadar hukuman mati tertinggi di dunia pada 2017 selepas China dan Iran, menurut Amnesty International.
Pakar hak asasi manusia berulang kali menimbulkan kebimbangan yang keadilan dalam perbicaraan di negara itu yang ditadbir oleh undang-undang Islam yang ketat. Kerajaan mempertahankan hukuman mati, mendakwa ia menghalang jenayah berat berlaku.
April lepas, Putera Mahkhota Mohammed bin Salman mencadangkan negara itu supaya mempertimbangkan penukaran hukuman mati dalam jenayah tertentu kecuali bunuh dalam satu wawancara dengan majalah Time. – AFP, 17 Julai, 2018.
Komen