SEJUMLAH 62 anggota militan terbunuh dalam beberapa serangan Tentera Udara Afghanistan di wilayah Kandahar dalam tempoh 24 jam lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik jurucakap tentera Yahya Alavi pada Selasa.
“Pesawat itu menyasarkan tempat persembunyian Taliban di daerah Maroof di selatan wilayah Kandahar, dan meragut nyawa 62 militan termasuk seorang komander tempatan dan mencederakan tiga lagi,” katanya kepada Xinhua.
Dalam satu insiden berasingan pada Isnin, sembilan anggota polis terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam satu pertempuran dengan militan Taliban.
Insiden itu dilaporkan berlaku di daerah kejiranan Arghistan, kata jurucakap gabenor wilayah itu, Dawood Ahmady.
Kumpulan Taliban belum mengulas mengenai insiden itu. – Bernama, 17 Julai, 2018.
Komen