Pakatan perkecil pembangunan luar bandar Sarawak satu tamparan, kata Masing 


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata negeri itu juga berhak untuk diberikan peluang untuk keperluan asas dan infrastruktur.– Gambar Youtube, 17 Julai, 2018

KERAJAAN Sarawak berkata, pendirian kerajaan baharu Pakatan Harapan yang mengkategorikan pembangunan infrastruktur di Sarawak tidak kritikal merupakan satu tamparan kepada negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri James Masing. 

Masing hari ini berkata, surat dari Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri bertarikh 29 Jun menyatakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar negeri itu diklasifikasikan sebagai “sederhana dan tidak kritikal”, yang bermaksud tiada kesegeraan dalam pelaksanaannya. 

“Kerajaan Malaysia baru ini fikir pembangunan infrastruktur luar bandar bukan lagi keutamaan, keseluruhan pembangunan infrastruktur secara umumnya diklasifikasikan sebagai ‘tidak kritikal’, oleh itu tidak akan diberi keutamaan dalam bajet,” katanya. 

“Sarawak dan rakyat Sarawak satu-satunya yang akan kehilangan perkara asas berdasarkan garis panduan baru ini,” kata Masing, yang juga menteri pembangunan infrastruktur dan pengangkutan. 

“Ia memang satu tamparan kerana saudara dan rakan kita di luar bandar akan terus hidup tanpa akses ke pekan dan bandar serta terputus daripada pembangunan.”

Masing berkata, beliau memahami keperluan untuk meningkatkan proses pentadbiran dan prosedur perolehan, kerajaan PH “perlu ingat bahawa Malaysia bukan hanya terdiri daripada semenanjung Malaysia sahaja dan perlu pertimbangkan keperluan Sarawak sebagai sebahagian daripada persamaan yang ditetapkan”.

“Dasar yang mengkategorikan pembangunan infrastruktur sebagai tidak kritikal mungkin sesuai dengan semenanjung Malaysia yang sudah maju dengan baik.

“Pendekatan itu tidak sepatutnya dipaksa ke Sarawak, yang sedang dibangunkan dari segi infrastruktur.

Masing berkata walaupun peruntukan pembangunan infrastruktur oleh kerajaan persekutuan Barisan Nasional sebelum ini mungkin tidak mencukupi, namun pembangunan infrastruktur tidak pernah dianggap tidak penting atau “paling teruk, diabaikan”.

Sarawak katanya, juga berhak untuk diberikan peluang untuk keperluan asas dan infrastruktur.

Masing menyebut hujah oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian yang baru dilantik pada 10 November tahun lepas di mana beliau mempersoalkan mengapa peruntukan pembangunan infrastruktur untuk Sabah dan Sarawak hanya mewakili 2.4% daripada jumlah peruntukan bajet persekutuan.

Baru mengatakan jumlah itu tidak mencukupi untuk membangunkan negeri. 

Masing hari ini berkata, jika begini Putrajaya melayan rakan kongsinya, maka lebih kuat alasan “kita mesti perjuangkan kuasa penuh termasuk peruntukan fiskal yang lebih besar. – 17 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen