PH boleh sediakan projek MRT lebih baik untuk rakyat, kata Nurul Izzah


Melati A. Jalil Yasmin Ramlan

Nurul Izzah berkata Pakatan Harapan boleh membina projek MRT dengan laluan lebih besar dan kos yang rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Julai, 2017.

PAKATAN Harapan (PH) boleh menyediakan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang lebih baik daripada kerajaan persekutuan tanpa pembaziran yang besar, kata naib presiden Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, PH bersama gabungan parti mereka mampu mentadbir negara jauh lebih baik untuk rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Tanpa segan silu Najib Razak mendabik dada dengan mengatakan ‘saya hadiahkan MRT kepada rakyat Sg Buloh dan Kajang’.

“Tapi saya nak beritahu Najib Razak, tanpa pembaziran daripada PH bersama mantan TPM dan PM kita boleh membina projek MRT dengan laluan lebih besar, kos rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan kata-kata aluannya di hadapan 500 para hadirin yang hadir pada ceramah “Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Shah Alam hari ini.

Ceramah ini merupakan jelajah kedua bagi jelajah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada PH untuk skandal syarikat beban hutang itu kepada rakyat malaysia dalam kalangan melayu Islam yang merupakan pengundi majoriti pada pilihan raya umum.

Sebelum ini Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata di dalam blognya, walaupun menelan belanja besar, MRT merupakan cenderahati daripada Najib kepada negara.

Projek MRT itu yang menghubungkan Sg Buloh ke Kajang dibina untuk rakyat, kata Salleh menerusi catatan blognya hari ini.

Menurut Salleh, MRT yang menelan belanja RM21 bilion dan memulakan pembinaan pada 8 Julai 2011 dijangka memberi faedah kepada dua juta penduduk Lembah Klang. – 17 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen