Presiden MIC patut letak jawatan speaker Dewan Negara


Low Han Shaun

TIADA asas moral untuk S. Vigneswaran terus memegang jawatannya di Dewan Negara kerana menjadi amalan biasa untuk lantikan politik meletak jawatan selepas perubahan dalam kerajaan berlaku, kata wakil rakyat DAP Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Kepong itu berkata Vigneswaran, yang juga speaker Dewan Negara mungkin boleh menunjukkan kesamarataannya tetapi sepatutnya meletak jawatan daripada jawatannya dalam MIC sebelum berbuat demikian.

“Presiden MIC boleh kata dia tidak berat sebelah, tetapi kita semua tahu di mana kesetiaannya dan kecenderungannya.

“Jika beliau bertegas mahu memegang jawatan speaker, maka beliau sepatutnya meletak jawatan dalam MIC,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata peletakan jawatan di Dewan Negara itu juga membolehkan kerajaan Pakatan Harapan melantik seorang calon pilihannya.

“Ini bagi membolehkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan untuk melantik seorang calon pilihannya,” katanya.

Vigneswaran yang juga presiden MIC dilantik sebagai speaker pada 26 Aprik, 2016 di bawah kerajaan terdahulu. Beliau dilantik sebagai presiden baharu MIC, tiga hari lalu.

Lim berkata beliau juga mahu mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohd Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat di mana beliau terkenal sebagai seorang yang adil dan berfikiran bebas, tidak seperti Vigneswaran.

“Datuk Mohamad Ariff melepaskan jawatannya dalam Parti Amanah Negara untuk menjadi adil dan saksama dalam melaksanakan tugasnya.

“Tetapi di Dewan Negara, kita lihat sebaliknya. Kita ada speaker yang baru saja dilantik sebagai presiden MIC,” katanya.

Bantahan terhadap pelantikan Aritf semalam, menyaksikan wakil rakyat Barisan Nasional bertindak keluar Dewan.

Semua kecuali Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang duduk bersendirian di bahagian pembangkang, dikelilingi kerusi kosong, sementara yang lain keluar selepas menuduh kerajaan PH tidak mematuhi peraturan notis 14 hari kepada Parlimen berkenaan pelantikan speaker. – 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen