IRAN membuat aduan rasmi dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan pengenalan semula sekatan Amerika Syarikat, kata Kementerian Luar negara itu pada Selasa.
Aduan itu dibuat semalam pada Isnin, kata jurucakap Bahram Ghasemi dalam kenyataan disiarkan di laman sesawang kementerian.
Matlamat aduan adalah “untuk membuat AS bertanggungjawab kerana pengenalan semula sekatan haram,” kata Menteri Luar Mohammad Javad Zarif di Twitter.
“Iran komited kepada undang-undang dalam berdepan tindakan AS yang menghina diplomasi dan tanggungjawab perundangan. Sangat perlu untuk menentang habitnya melanggar undang-undang (antarabangsa),” katanya lagi.
Aduan itu dibuat sebagai tindak balas kepada keputusan Washington pada Mei untuk membatalkan perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran.
Tehran berkata tindakan itu melanggar tanggungjawab antarabangsa termasuklah Treati Keamanan AS-Iran 1955- perjanjian yang ditandatangani sebelum revolusi Irang 1979 tetapi masih digunakan dalam kes perundangan yang wujud.
Iran dan AS tidak mempunyai hubungan diplomatik sejak 1980 apabila pegawai Kedutaan AS dijadikan tahanan di Iran.
Sekatan berkaitan nuklear dikenakan semula Washington dalam dua fasa pada Ogos dan November, mahu menghalang syarikat Eropah dan negara lain melakukan perniagaan dengan Iran dan menghalang penjualan minyak negara itu di luar negara.
ICJ sudahpun dijadualkan mendengar satu lagi aduan Iran pada 8 Oktober yang difailkan dua tahun lalu terhadap AS kerana membekukan sekitar AS$2 bilion aset luar negaranya. – AFP, 17 Julai, 2018.
Komen