Parti saya akan berkuasa 'selama-lamanya', kata presiden Tanzania


PRESIDEN Tanzania John Magufuli yang menerima kecaman kerana kepimpinan autoritariannya berikrar bahawa partinya yang memerintah negara itu akan “kekal berkuasa selama-lamanya”.

Dalam ucapan yang disiarakan di radio dan televisyen pada Isnin, Magufuli berkata lawan partinya Chama Cha Mapinduzi (CCM) “sentiasa berdepan masalah”. 

Kenyataannya merupakan yang terbaharu daripada komen kontroversinya yang lain termasuk mencadangkan banduan dikerah untuk bekerja “siang dan malam” dan menerima sepakan sekiranya mereka malas. 

“CCM di sini dan akan terus di sini—selama-lamanya. Ahli CCM, kamu boleh berjalan dengan bangga. Tiada alternatif kepada CCM,” kata Magafuli ketika berucap semasa merasmikan pusat latihan parti itu yang baru dibina di Kibaha, di luar ibu negara Dar es Salaam.

Kemudahan bernilai AS$45 juta itu dibiaya oleh derma dari China dan didedikasikan kepada bapa kemodenan Tanzania Julius Nyerere yang juga merupakan pengasas kepada CCM. 

Magufuli yang mula memegang kuasa pada 2015, sebelum ini mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia berhubung kempen anti homoseksual dan menggesa untuk menghalang gadis yang mengandung daripada ke sekolah. – AFP, 17 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen