Mangsa keempat wabak rabies di Sarawak meninggal dunia


Desmond Davidson

Mangsa wabak rabies keempat, Florencia Edward, 7 tahun meninggal dunia akibat penyakit itu pada petang hari ini. Ibunya Elisca (tengah) dilihat di Hospital Umum Sarawak hari ini. - Gambar The Malaysian Insight, 17 Julai 2017.

MANGSA keempat wabak rabies di Sarawak iaitu Florencia Edward, 7 dari Kampung Ampungan di Serian meninggal dunia akibat jangkitan virus petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam satu kenyataan lewat petang tadi berkata kanak-kanak itu meninggal dunia pada jam 2.05 petang.

Ini bermakna, kesemua empat mangsa dijangkiti wabak rabies yang kesemuanya berusia di bawah 7 tahun meninggal dunia.

Florencia dilaporkan digigit anjing yang dijangkiti pada 27 Mei di Kampung Saboran ketika melawat neneknya bersama ibu dan adik-beradiknya.

Pada 3 Julai, kanak-kanak itu menunjukkan simptom demam, “dengan kesakitan di lengan kiri dan kelihatan lesu,” menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah minggu lalu.

Dia pada mulanya dihantar ke hospital Serian dan dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada keesokan harinya dan semenjak itu diletakkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Berita kematiannya cepat tersebar di media sosial, di mana seorang pengguna Facebook, Musa Ngog berkata, “ucapan takziah kepada keluarga dan saudara-mara mangsa rabies ke-4 dari Kampung Ampungan, Serian”.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Sim Kui Hian pada Sabtu lepas berkata peluang untuk hidup adalah 0.01%.

“99.99% mati jika virus rabies menjangkiti otaknya,” kata Sim.

Dua beradik, Jackson berusia 4 tahun dan kakaknya Monica Mazlan,6 meninggal dunia akibat jangkitan pada 4 Julai.

Adik-beradik dari Kampung Paon Sungai Rimu itu adalah dua mangsa pertama yang disahkan dalam wabak yang diisytiharkan pada 1 Julai.

Pada 13 Julai, Alicesa Lorenna Nody, 7 dari Kampung Lebur di Gedong meninggal dunia.

Setakat ini tujuh buah kampung di daerah Serian, kira-kira 90km dari bandaraya Kuching dan kawasan-kawasan dalam lingkungan 10km dari kampung-kampung terbabit diisytiharkan sebagai zon yang dijangkiti rabies.

Dalam kenyataan terkini, jawatankuasa pengurusan bencana itu menyatakan seramai 97 lagi orang dikesan digigit anjing sejak 1 April dengan hari ini sahaja 24 orang digigit anjing.

Ini membawa jumlah individu yang digigit anjing kepada 368, dengan 251 daripada mereka diberi vaksin.

Sumber jangkitan dipercayai berasal dari Kalimantan, Indonesia.

Untuk mengelakkan penyebaran lanjut, kerajaan negeri memerintahkan semua agensi termasuk tentera untuk mengawal pos sempadan bagi menghentikan pergerakan haiwan di antara kedua-dua negara. - 17 Julai 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen