RATUSAN ribu penyokong membanjiri ibu kota Zagreb hari ini untuk meraikan kepulangan pemain Croatia dari Rusia selepas tewas dalam aksi akhir Piala Dunia 2018.
Polis menganggarkan 550,000 penyokong menyambut pasukan yang dibawa berarak menggunakan bas tanpa bumbung dari lapangan terbang ke dataran utama di ibu kota itu.
Ia mengambil masa kira-kira lima jam untuk bas itu tiba ke Dataran Jelavic ketika ia bergerak perlahan melepasi deretan penyokong yang mengibarkan bendera, memakai jersi Croatia merah dan putih serta menyanyikan lagu-lagu kebangsaan mereka.
Sejak negara di bawah jajahan Yugoslavia itu merdeka pada 1991, hanya sekali Zagreb dilihat penuh dengan orang ramai iaitu ketika kunjungan Pope John Paul II pada 1994.
Malah, dianggarkan lebih 100,000 orang memenuhi dataran itu untuk meraikan kejayaan skuad Vatreni yang diketuai kapten dan pemenang Bola Emas, Luka Modric.
“Hrvatska, Hrvatska!” sorakan itu bergema sebaik saja pengendali Croatia Zlatko Dalic dan barisan pemainnya mula masuk ke pentas utama di depan skrin besar dengan tembakan konfeti berwarna merah putih memenuhi ruang udara.
Pemain dan penyokong turut bersama menyanyikan lagu kebangsaan Croatia.
“Terima kasih Croatia, terima kasih Zagreb! Impian kita sudah tercapai,” kata Modric kepada penyokong.
Croatia mencipta sejarah baru kali ini apabila mara kali pertama ke pentas akhir Piala Dunia, namun tumbang kepada Perancis 4-2 dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Luzhniki di Rusia. – AFP, 17 Julai, 2018.
Komen